Kassim Ahmad adalah antara personaliti yang paling kontroversi di Malaysia kerana pemikirannya yang berbeza dengan majoriti umat Islam di negara ini. Beliau dituduh sebagai jahil, sesat malah ada yang menganggap beliau kafir. Buku beliau iaitu ‘Hadith: Satu Penilaian Semula’ telah diharamkan oleh Majlis Fatwa pada tahun 1986.
Nama Kassim Ahmad kembali diperkatakan sejurus selepas seminar ‘Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Halatuju Negara Tiga Puluh Tahun Akan Datang’ di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 16 Februari lalu. Kehadiran beliau di atas pentas yang begitu sinonim dengan Tun Mahathir, memberi impak yang begitu besar bagi masyarakat Melayu-Islam-Malaysia.
Keterbukaan Tun Mahathir terhadap Kassim Ahmad dijadikan isu bagi menuduh beliau sebagai turut sesat. Dengan publisiti yang dibawa oleh nama Tun Mahathir dan Kassim Ahmad, maka berlumba-lumbalah orang ramai cuba membuktikan mereka yang lebih ‘alim’ dengan mengecam dan menghukum Kassim Ahmad.
Pihak yang mewakili agama Islam juga pantas mengingatkan kita semua tentang bahaya Kassim Ahmad serta ‘hukuman’ yang datang bersamanya. Niat mereka tentulah murni sekali, iaitu untuk memastikan umat Islam tidak dipesongkan oleh Kassim Ahmad.
Hakikat bahawa Tun Mahathir membuka peluang kepada Kassim Ahmad untuk berkongsi pemikirannya dengan orang ramai dan juga peluang kepada para ulama untuk mengecam beliau, menunjukkan yang Negarawan tersebut telah melihat kematangan di kalangan umat Islam.
Tun Mahathir tidak mungkin akan bersetuju dengan program sebegini sekiranya beliau tidak percaya yang umat Islam di negara ini telah bersedia untuk berhadapan dengan asakan dari pihak yang berbeza pendapat dengan mereka.
Bagi yang mengenali Tun Mahathir, kita cukup arif yang beliau amat tegas dalam perihal yang berkaitan akidah Islam. Beliau difahamkan pernah menghulurkan bantuan dalam bentuk misi khas sulit kepada warga Malaysia semata-mata untuk menyelamatkan akidah anak-anak individu yang terbabit.
Kepercayaan Tun Mahathir bahawa umat Islam di Malaysia telah cukup matang untuk berhadapan dengan Kassim Ahmad, ternyata tidak meleset. Berikutan dari program tersebut, kita melihat begitu ramai anak muda yang cuba memahami dan mengupas hujah-hujah Kassim Ahmad dan juga ‘hukuman’ terhadapnya oleh para Ulama. Secara dasarnya, anak-anak muda yang mengikuti program itu menjadi lebih terbuka dan berani berfikir dengan lebih kritis tanpa dipengaruhi emosi.
Oleh itu, penulis melihat bahawa program sebegini mampu memecah kejumudan dan membina umat Islam yang lebih bijak dan relevan dalam arus kemodenan dunia.
Penulis juga punya pendapat sendiri mengenai pemikiran Kassim Ahmad, tetapi pendapat penulis tidak penting di sini kerana ia tidak semestinya benar, seperti juga yang diakui oleh Kassim Ahmad iaitu yang benar itu hanyalah Allah SWT.
Justeru, selagi Kassim Ahmad menyembah Allah Yang Esa dan menerima Muhammad SAW sebagai Rasulullah walaupun enggan mengiktiraf ketinggian darjat Baginda dalam konsep iman, maka penulis tiada hak untuk menilai keIslaman Kassim Ahmad, apatah lagi menghukum beliau.
Apa yang pelik di sini ialah, dalam umat Islam begitu takut dengan pandangan Kassim Ahmad yang menolak hadith, mereka tidak pula takut dengan pandangan ulama-ulama yang memesongkan ayat-ayat Al-Quran.
Walhal, ayat yang ditolak masih boleh saja diambil semula dalam keadaan yang elok tetapi ayat yang telah dimanipulasi, dibelit dan diambil separuh-separuh akan merosakkan keseluruhan pemahaman.
Perlu diingatkan bahawa Kassim Ahmad tidak pernah meletakkan diri beliau sebagai ulama dan oleh itu, segala apa kenyataan beliau kalau pun benar sesat, tidak akan membawa kerosakan kepada masyarakat kerana beliau bukan sumber rujukan. Kassim Ahmad juga tidak pernah menghukum orang lain sebagai kafir serta menerima baik sebarang pendapat berlainan. Justeru, walaupun beliau menolak hadith, beliau tidak menyebabkan perpecahan.
Berbeza dengan para Ulama yang gemar memperalatkan ayat-ayat AlQuran dan hadith demi keuntungan politik. Mereka ini amat gemar menilai dan menghukum orang lain sepertimana yang dilakukan mereka terhadap Kassim Ahmad. Sebagai individu yang bergelar ulama, maka setiap kata-kata mereka menjadi rujukan dan diterima sebagai benar. Akibatnya, pada satu masa, tindakan Ulama-ulama ini memanipulasi ayat-ayat AlQuran telah menyebabkan pertumpahan darah sepertimana yang berlaku dalam peristiwa Memali dan Sauk.
Penulis bukan membela Kassim Ahmad mahupun mengkritik Ulama tetapi sekadar menyatakan kejelekan yang berlaku di negara ini. Hari ini, kita menghukum orang yang menolak hadith tetapi menerima orang yang memanipulasi ayat Al-Quran. Kita takut akan kesesatan yang dibawa dengan menolak hadith tetapi kita tidak takut dengan kesesatan yang dibawa melalui manipulasi ayat Al-Quran sedangkan kedua-duanya mampu membawa akibat buruk dari segi akidah mahupun perpaduan ummah.
Kita memejamkan mata terhadap kesesatan yang dibawa oleh orang yang bergelar ulama sedangkan ajaran beliau terbukti telah membawa kepada pertumpahan darah. Di masa yang sama, kita mengecam dan menghukum orang yang bukan pun seorang Ulama dan belum terbukti pernah menyebabkan apa-apa kerosakan di kalangan ummah, seolah-olah beliau adalah lambang segala kejahatan dan tidak dapat dimaafkan lagi.
Soalnya, kenapa kita perlu bersikap dwistandard? Kenapa perlu memilih kesesatan mana yang boleh dimaafkan dan mana yang tidak? Apakah hanya kerana kesesatan itu dibawa oleh orang yang berjubah dan bergelar ulama maka ia perlu diberi pertimbangan dan mereka yang berimej ‘sekular’ sahaja yang perlu dikecam?