Nampaknya ada ahli parlimen PKR lebih utamakan jawatan dalam parti berbanding menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan tamat Khamis ini.
Dewan hari ini membahaskan Rang Undang-Undang Saraan Hakim selepas Rang Undang-Undang GST diluluskan petang semalam.
Sepatutnya, dengan tempoh persidangan yang pendek setiap penggal, wakil rakyat wajar menggunakan peluang itu untuk membangkitkan masalah rakyat yang memilih mereka.
Bagaimanapun, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli pada Selasa berkongsi pentas berkempen bersama Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution di sebuah hotel di Damansara, pagi Selasa.
Rafizi baru mencuba nasib bagi jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan kali ini manakala Nurul Izzah adalah penyandang.
Saifuddin pula akan menentang Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pertembungan enam penjuru.
“Keputusan ini memuktamadkan keputusan saya untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden. Saya tidak akan berpatah balik,” kata Saifuddin di majlis itu.
Nurul Izzah pula berkata langkah membentuk pasukan menunjukkan PKR adalah imej sebenar kepimpinan bersama yang menjadi budaya dalam PKR.
“Ini menunjukkan PKR mengamalkan sebuah kepimpinan bersama, kami sedar tidak boleh berdiri seorang diri,” kata Nurul Izzah.
Selepas berakhir proses penamaan calon PKR peringkat pusat lalu, jawatan naib presiden akan menyaksikan posternurulrafizipertandingan 16 penjuru.
Hanya seorang sahaja akan dilantik bagi jawatan timbalan presiden dan empat posisi bagi jawatan naib presiden pula empat kerusi.
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.
Seramai 500,001 ahli PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor dengan sebanyak 144,020 anggota, diikuti dengan Sabah sebanyak 86,955.
PKR melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT.