Menteri atas pentas… itu kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai berbagai sandiwara yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar selalu mengadakan sandiwara, sepanjang masa dia hidup dalam sandiwara, dia nak jadi PM (perdana menteri) atas pentas bolehlah. Macam-macam yang dia buat, semuanya sandiwara,” katanya.
Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai pertandingan suami isteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merebut jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu dan menyifatkan itu hanya sandiwara Anwar.
Menurut beliau, ertarungan suami isteri berkenaan adalah gimik politik yang mempunyai tujuan tertentu atau ‘ada udang sebalik batu’.
Pada pemilihan parti itu bulan depan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertanding jawatan timbalan presiden mencabar penyandangnya, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan muka baharu, Datuk L Ramachandran.
Bagi empat tempat naib presiden, dua penyandangnya iaitu Nurul Izzah Anwar anak sulung Anwar, dan Tian Chua akan berdepan pertandingan 15 penjuru, selain terdapat 76 calon akan berebut untuk mendapat tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Menyentuh cadangan PAS untuk membawa usul rang undang-undang persendirian mengenai Hukum Hudud di Dewan Rakyat, Dr Mahathir berkata, itu adalah hak mereka dan terpulang kepada anggota Dewan Rakyat untuk membuat keputusan.
“Jika majoriti (daripada mereka) menyokong, (jawapannya) ya, tapi saya tidak tahu sama ada usul ini memerlukan majoriti dua pertiga atau tidak. Ia akan meletakkan DAP dan UMNO dalam kedudukan memalukan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Leaders in Today’s Society: Issues, Challenges and Way Forward’ di Universiti Teknologi Petronas.
Sementara itu, Dr Mahathir mencadangkan supaya Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan pembinaan ‘Jambatan Persahabatan’ yang dicadangkan kerajaan.
Beliau berkata Tambak Johor menyebabkan pelbagai masalah terutamanya melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
“Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor.
“Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru kerana jambatan tidak dibina,” katanya
Beliau berharap kerajaan tidak akan membina jambatan di tempat lain dan kemudian meninggalkan Tambak Johor di tempatnya kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Johor.