Menikmati juadah dengan penuh kesantunan sudahpun dikisahkan dalam hikayat zaman dahulukala seperti yang dinukil pujangga Greek dalam syair Odyssey dan Illiad.
Raja dan golongan bangsawan digambarkan menjamu selera dengan menikmati berjenis-jenis makanan menggunakan perkakas lazimnya diperbuat daripada emas dan perak.
Catatan sejarah menunjukkan makan penuh kesantunan ini bermula sejak Zaman Pertengahan lagi.
Menurut catatan itu lagi, orang Greek, Mesir dan Rom memberi penekanan kepada cara meja hidangan disediakan dengan rapi laksana menyusun strategi melancarkan peperangan.
Kebangsawanan serta kemewahan dizahirkan menerusi kot labuh berwarna perak, mangkuk minuman campuran ‘wassail’ serta jag dihiasi ukiran yang halus seni buatannya.
Malahan di dunia sebelah sini yakni Asia Tenggara, ada amalan bagi setiap kaum atau suku kaum berhubung dengan cara makan.
Untuk orang Melayu, adalah menjadi adat untuk makan di atas lantai; kaum lelaki bersila sementara wanita, duduk bersimpuh, mengelilingi hidangan.
Juadah dihidang di atas kain alas. Air untuk mencuci tangan disediakan, kadangkala di dalam mangkuk atau jag khas beralaskan mangkuk.
Ia dihulurkan kepada orang di sebelah selepas digunakan dan proses itu berterusan sehingga kepada orang yang terakhir.
Doa dibaca sebelum makan dan adab makan ialah tidak boleh bercakap dengan mulut yang penuh berisi makanan.
Nasi dan lauk dihulurkan kepada yang tua dahulu tetapi anak digalakkan menambah nasi dengan kata-kata “makan banyak bagi cepat besar.”
Bagaimanapun, sejak tahun-tahun kebelakangan ini, cara tradisi menikmati juadah semakin dilupakan.
Cara hidup yang sibuk dengan pengaruh televisyen menjadikan waktu makan satu proses terburu-buru dan anggota keluarga juga tidak lagi makan semeja.
PAMERAN HIASAN MEJA MAKAN
Pameran Antarabangsa Seni Penyediaan Meja, diadakan di Pavilion pada 9 hingga 10 April, diadakan untuk merai serta mengembalikan tradisi yang indah ini.
Dianjurkan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan), pameran ini memaparkan pelbagai adat dan budaya makan penuh kesantunan melibatkan 22 negara.
Meskipun kebanyakan seni penyediaan meja diselitkan dengan reka bentuk sezaman, namun, peserta berjaya menonjolkann identiti unik tradisi makan negara masing-masing.
Contohnya, pereka bentuk Filipina, Gina Frias, mengguna banyak cangkerang dan unsur marin seperti mutiara dan tempurung kelapa untuk meja yang dihiasnya.
“Reka bentuk ini memaparkan ciri-ciri kepulauan Filipina dan kebanyakan barang perhiasan ini adalah koleksi peribadi saya,” kata beliau kepada Bernama dengan penuh bangga.
Gina menambah meja yang dihias itu juga untuk melengkapkan masakan Filipina, seduhan antara masakan asli barat dan timur.
Meja pereka bentuk dari Denmark memberi penekanan kepada barangan seramik buatan tangan negara itu.
Seni penyediaannya santai terdiri daripada sebuah mangkuk besar berisi limau nipis di tengah, di keliling empat set pinggan mangkuk dan di penghujung meja dihiasi sejambak bunga liar.
Potters, Astrid Ruge dan Lone Skriver yang mempersiapkan meja itu mahu menggambarkan musim bunga serta persekitaran lautan di Denmark.
“Warna putih dan hijau juga ada hubungan penting dengan adat kami,” kata Astrid.
PENYEDIAAN MEJA, SATU SENI
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam ucapan perasmian berkata penting untuk memahami keistimewaan penyediaan meja yang boleh memudahkan untuk makan dalam keadaan yang menyeronokkan.
“Seni menyediakan meja secara betul sungguh menarik dan ia menjadikan berselera untuk makan.
“Begitu juga dengan makanan yang dimasak dengan sempurna menjadi lebih menyelerakan sekiranya dihidang dalam suasana yang begitu selesa,” katanya.
Menurut Rosmah, penyediaan meja memberi peluang untuk menjadi kreatif, melahirkan personaliti seseorang dan ia satu bentuk hiasan dalaman.
“Seni ini memberi peluang kepada anda menggunakan imaginasi anda, mewujudkan hiasan yang unik serta kreatif yang boleh menjadikan acara lebih istimewa dan menikmati hidangan satu pengalaman hebat,” tambahnya.