PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara bagi tempoh jangka masa panjang.
Perdana menteri berkata walaupun tindakan itu tidak popular namun ia harus dilakukan memandangkan subsidi bahan api yang ditanggung oleh kerajaan setiap tahun sangat tinggi.
Malah, katanya, jika langkah itu tidak diambil, ia bakal meninggalkan kesan kepada ekonomi negara berikutan kekurangan hasil untuk perbelanjaan negara.
“Tahun lepas subsidi bahan api petrol, LPG dan diesel berjumlah RM24 bilion dan ia bukan jumlah yang kecil.
“Jika jumlah itu kita tidak kurangkan boleh menyebabkan kita tak cukup hasil untuk menampung perbelanjaan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah dan wakalah lembu korban untuk kawasan Parlimen Pekan sempena Hari Raya Aidiladha Ahad ini.
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob itu, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan menyampaikan 505 ekor lembu untuk seluruh kawasan parlimen itu.
Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan akan mengumumkan pelbagai langkah untuk membantu rakyat menghadapi masalah pengurangan subsidi minyak dalam pembentangan Belanjawan 10 Oktober ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langlah itu termasuk pemberian subsidi bersasar terus kepada rakyat seperti bantuan persekolahan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan lain yang akan diumumkan kelak.
“Dalam bajet akan datang sudah tentu kita akan fikir bagaimana nak bantu rakyat supaya bantuan terus sampai kepada mereka dan kurangkan ketirisan supaya ekonomi lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi meningkat dan lebih banyak (hasil) yang boleh kita bagi kepada rakyat,” katanya.
Najib berkata kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi pukal bahan api berikutan berlaku kes ketirisan terhadap pengagihan bahan api berkenaan kepada rakyat di negara ini.
“Ini kerana subsidi bahan api ketika ini turut dinikmati oleh orang yang lebih kaya, pelancong, pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin.
“Malah baru-baru ini ketika Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, saya dapati minyak diesel kita banyak diseludup keluar dari Rantau Panjang untuk dijual diseberang sana (Thailand),” katanya.
Najib dalam pada itu turut mengingatkan rakyat, agar menjadikan elemen pengorbanan, asas dalam mencapai kejayaan.
“Kalau kita sanggup berkorban dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran, Insya-Allah kita akan mendapat ganjaran yang setimpal,” katanya.
Tindakan mengurangkan subsidi minyak terpaksa dilakukan kerana faedah itu diagih secara tidak adil malah kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agihan subsidi kini turut dimanafatkan oleh golongan yang tidak sepatutnya.
Beliau menjelaskan kerajaan tidak menaikan harga minyak sebaliknya terpaksa mengurangkan subsidi.
Berucap di majlis menerima watikah dan wakalah lembu korban di Pekan siang tadi, Perdana Menteri berkata subsidi diperuntukkan kerajaan itu bukan sahaja diraih golongan yang tidak sepatutnya.
Malah golongan berada termasuk memiliki kereta mewah turut menikmati kemudahan itu.
Subsidi minyak itu turut digunakan pelancong dan pekerja asing.
Tidak terkecuali kemudahan itu diselewengkan termasuk melalui kegiatan penyeludupan.
Jelasnya agihan subsidi kini tidak telus dan mengundang berlakunya ketirisan.