Khabar angin baharu timbul mengenai pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara, Zulkifli Hir atau lebih dikenali sebagai Marwan dipercayai mungkin telah dikepung dan terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina.
Agensi berita, The Philippines Daily Inquirer memetik komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) melaporkan Marwan dan beberapa anggota pengganas Basit Usman mungkin maut dalam pertempuran dengan tentera dekat Cotabota pada petang Ahad.
Menurut laporan tersebut, sekurang-kurangnya 30 komando polis turut maut dalam pertempuran antara tentera kerajaan Filipina dan tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Ia adalah keganasan pertama sejak perjanjian damai yang diusahakan Malaysia pada tahun lalu.
Laporan tersebut memetik Mohagher Iqbal, ketua perunding MILF dalam rundingan damai sebagai mengesahkan pertempuran tersebut tetapi tiada mana-mana kumpulan yang memaklumkan jumlah anggota mereka yang terkorban.
Laporan terdahulu mengenai pertempuran itu masih samar.
Pada awalnya, tentera dan pegawai polis berkata komando milik Pasukan Polis Tindakan Khas Kebangsaan Filipina (SAF) bertempur dengan kumpulan bersenjata Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) di bandar Mamasapano, Maguindanao.
Namun, seorang pegawai MILF berkata, komando SAF menceroboh masuk ke dalam wilayah yang ditawan kumpulan bersenjata tersebut sebelum berlakunya pertempuran.
Dalam laporan awal, Kapten Joanne Petinglay, ketua Bahagian Infantri ke-6 unit hal ehwal awam Tentera Darat, berkata tentera melakukan operasi pembersihan di Mamasapano di mana anggota polis terbunuh dalam pertempuran dengan pejuang BIFF.
Petinglay tidak mendedahkan beberapa ramai anggota polis yang terbunuh.
Beliau berkata anggota tentera yang disokong dengan kenderaan perisai berada di kawasan tersebut untuk membantu anggota polis Maquindanao.
“Setakat ini, saya tidak boleh memberikan jumlah sebenar anggota yang maut, ia adalah operasi polis, tiada penyelarasan dengan anggota kita di darat,” kata Petinglay kepada The Inquirer.