Polis Perancis mengesahkan tiada yang terselamat dalam nahas pesawat Germanwings dan menjangkakan usaha menyelamat mangsa akan mengambil masa beberapa hari kerana cerun gunung yang curam.
“Usaha untuk mengeluarkan mayat dan seterusnya bangkai pesawat itu tentu akan mengambil masa beberapa hari berikutan lokasi nahas di kawasan tanah tinggi,” kata pegawai polis Jean-Paul Bloy.
Setakat ini, pihak keselamatan juga belum mengesan teori mengenai punca nahas pesawat yang dalam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman itu.
Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan Perancis berkata, juruterbang tidak membuat panggilan kecemasan dan hubungan radio terputus menyebabkan pesawat itu tiba-tiba hilang altitud selama lapan minit sebelum terhempas.
Selain itu, Germanwings pula berkata, Penerbangan 4U 9525 itu membawa 144 penumpang, termasuk dua bayi dan enam anak kapal.
Di kalangan penumpang itu juga membabitkan 67 warga Jerman, termasuk 16 pelajar sekolah tinggi.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Barcelona pada jam 10.01 pagi tetapi mula turun selepas mencecah paras penerbangan 38,000 kaki (11,582 meter). Ia terus turun selama lapan minit sebelum terhempas.
Pada masa sama, Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls memaklumkan sebuah helikopter mendarat dekat serpihan pesawat itu di pergunungan Alps Perancis dan mendapati tiada yang terselamat.
“Cuaca di kawasan itu semakin buruk menjelang tengah hari, hujan dan sangat sejuk,” katanya.
Seorang pegawai kerajaan tempatan pula memberitahu akhbar Echos, pesawat itu berkecai dengan serpihan terbesar adalah sebesar kereta.