Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada 12 Sept 2014.
Baginda menggesa supaya proses itu dijalankan berlandaskan semangat dan terma perjanjian utama serta tidak dipolitikkan mana-mana pihak agar ia dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kehidupan rakyat Selangor.
Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya kerajaan Selangor sentiasa bersedia dengan langkah-langkah terbaik untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi bagi keperluan domestik dan industri.
“Beta yakin pendekatan ‘bersemuka dan berbincang’ dapat menyelesaikan persoalan ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga negeri Selangor.
“Beta juga mahu Memanda (menteri besar) Beta meneruskan sikap tegas mempertahankan kedaulatan negeri Selangor dan kepentingan rakyat,” titah baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu usaha menggantikan tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan akibat projek-projek pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan segera dan bentuk penggantian tersebut haruslah ‘serupa keadaannya’ serta mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.
“Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan Bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda juga menegaskan pengurusan alam sekitar dan ekosistem melalui pemuliharaan hutan simpan kekal dan penanaman pokok di Selangor mesti diberi perhatian sebagai iktibar susulan banjir yang berlaku di pantai timur Disember lepas.
Sehubungan itu, baginda menitahkan supaya kerajaan Selangor sentiasa memelihara hutan simpan kekal di negeri ini dan memastikan jumlah keluasannya harus tidak kurang 30 peratus daripada keluasan tanah sedia ada.
Sultan Sharafuddin bertitah kerajaan Selangor perlu menggubal dasar-dasar negeri mengikut keutamaan betul dan selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah, iaitu gagasan penting dalam Islam yang sentiasa relevan dengan perubahan zaman.
“Beta berharap Memanda Datuk Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) dapat meneruskan amanah kepimpinan dengan baik di samping mencatat beberapa kejayaan dalam tempoh singkat serta pendekatan kerja secara hands-on dan lebih responsif terhadap permasalahan rakyat,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin mahu setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan budaya dapat merasakan hak mereka terjamin selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan hakikat bahawa rakyat adalah aset terpenting dalam memacu pertumbuhan dan menarik pelabur.
Titah baginda, kepesatan ekonomi Selangor kini bakal menarik lebih banyak rakyat berhijrah ke negeri ini dan dijangkakan kepadatan penduduk mampu mencapai sehingga sembilan juta orang menjelang 2035.
Berikutan itu, baginda menyatakan permintaan bagi perumahan mampu milik akan menjadi lebih mendesak pada masa depan dan keperluan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam dilihat semakin mencabar.
“Beta berkenan usaha kerajaan negeri untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh tiga tahun ini dan berharap ia dapat dilipatgandakan sebagai usaha memenuhi permintaan sebanyak 40,000 unit,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan supaya Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dapat menyasarkan nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian pada kadar 60:40.