KOTA BELUD: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud sebagai “ke hadapan dan progresif”.
Katanya, projek bernilai RM160 juta yang akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan di tanah seluas 32.2 hektar itu mewujudkan konsep kehidupan serba lengkap.
“Saya amat tertarik dengan konsep pembangunan PPR Kota Belud ini kerana menggunakan konsep yang membawa kepada kesejahteraan dan kualiti hidup yang lebih baik daripada PPR yang lain.
“Ia (projek) merangkumi pembinaan, umpamanya, bazar rakyat, terminal bas, kemudahan riadah, tadika, masjid, dan sebagainya…bukan sahaja membina rumah untuk dimiliki oleh rakyat, tetapi juga membina sebuah komuniti baharu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek itu di sini hari ini.
Katanya, sehingga November tahun lepas, sebanyak 95,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina, sebanyak 42,857 unit sedang dalam pembinaan dan 200,000 unit lagi dalam perancangan.
Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kementeriannya telah memilih Kota Belud sebagai lokasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), sekali gus status pekan daerah ini bakal dinaik taraf menjadi bandar menerusi beberapa transformasi serta penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas.
Katanya, langkah naik taraf itu antara lain merangkumi beberapa aspek termasuk pembinaan bazar rakyat, terminal pengangkutan awam, dataran, taman rekreasi termasuk penyediaan lampu jalan dan tong sampah serta kemudahan riadah dinamakan ‘Kota Belud Walk’.
“Selain itu, Dewan Masyarakat Tun Said juga akan dinaik taraf, membina pejabat baharu Majlis Daerah Kota Belud dan menyediakan dua jeti besar di Pulau Mantanani dan Kuala Abai.
“Sebelum ini, lokasi NBOS ditempatkan dalam satu taman perumahan yang ditransformasikan bagi memberi keselesaan kepada penduduk sahaja. Tetapi kali ini, ia dibuat untuk keselesaan dan kegunaan bukan sahaja penduduk tetapi juga pengunjung,” katanya.
Mengenai PPR Kota Belud, Abdul Rahman berkata projek yang dijangka siap menjelang 2017 itu membabitkan 900 unit rumah teres setingkat di Kampung Pirasan di sini dengan setiap unit berkeluasan 700 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.
Katanya, sebanyak 100 unit lagi PPR akan dibina di Pulau Mantanani dan menurutnya projek PPR itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti Taman Asuhan Kanak-kanak (Tadika), surau, dewan serbaguna dan kedai.