Pemimpin kerohanian Tibet, Dalai Lama menggesa ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi tampil membantu pelarian Rohingya Islam yang teraniaya, ketika krisis pemerdagangan manusia melibatkan etnik tersebut semakin buruk.
Walaupun ribuan pelarian etnik melarikan diri dengan menaiki bot menuju ke negara-negara Asia Tenggara kerana layanan buruk dan diskriminasi oleh penduduk Buddha di negara itu, Suu Kyi masih tetap membisu.
Pemerhati berkata, tindakan pemimpin itu disebabkan kebimbangan berhubung pengurangan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Myanmar yang dijadual November ini.
Dalai Lama berkata, beliau telah merayu sebanyak dua kali kepada Suu Kyi sebelum ini agar membela nasib Rohingya termasuk pada 2012, tetapi tiada jawapan diberikan pemimpin wanita tersebut.
“Sangat menyedihkan dan saya berharap supaya Suu Kyi dapat melakukan sesuatu,” ujarnya dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar Australia.
Katanya, dia pernah bertemu dengan Suu Kyi sebanyak dua kali di London serta di Republik Czech dan mengakan perbincangan tentang masalah itu, tetapi Suu Kyi memberitahu dia berdepan beberapa masalah besar.
“Namun saya yakin Suu Kyi boleh menyelesaikan masalah ini,” ujarnya lagi.
Isu pelarian etnik Rohingya menjadi perhatian umum bulan ini selepas beribu-ribu pelarian etnik itu dan dari Bangladesh, dijumpai hanyut di sekitar perairan Asia Tenggara termasuk Thailand, Malaysia dan Indonesia selepas sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di selatan Thailand dibongkar.