Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar tindakan segelintir peniaga dan pemborong yang tamak dan cuba mengaut untung lebih sehingga menyebabkan berlaku kenaikan harga barang sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April lalu.
Perdana Menteri berkata, peniaga-peniaga berkenaan sengaja menaikkan harga barang dengan menggunakan alasan GST meskipun mereka tidak lagi dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diguna pakai sebelum ini.
Tegas beliau, disebabkan tindakan tersebut, pelaksanaan GST dipersalahkan sebagai punca kenaikan harga barang sedangkan sistem percukaian itu sebenarnya lebih baik berbanding SST.
“Sesetengah peniaga dan pemborong tidak mengendahkan SST yang telah dimansuhkan, mereka tidak lagi membayar SST tetapi harga langsung tidak diturunkan.
“Mereka tetap kenakan GST, pelaksanaan polisi ini tidak salah, mereka yang bersalah, kalau GST dilaksana sebaik mungkin, cukai ini sangat baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Dr. Wee Ka Siong serta Presiden Huazong, Tan Sri Pheng Yin Huah.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam usaha menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam semua sektor, kerajaan telah membuat keputusan merendahkan kadar cukai korporat dan mengurangkan peratusan cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga mata.
Jelas beliau, pelaksanaan itu telah memberi kemudahan kepada rakyat dan sektor perniagaan bagaimanapun kerajaan perlu mencari sumber pendapatan lain untuk menyeimbangkan ekonomi negara, justeru GST perlu dilaksanakan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan terpaksa mengambil keputusan tidak popular dengan melaksanakan GST kerana sistem berkenaan mampu menambah pendapatan kerajaan yang akan digunakan untuk projek-projek rakyat.
“Negara kita semakin berkembang dan rakyat dijangka mencecah 40 juta menjelang 2020, maka kerajaan perlu berbelanja lebih, lebih banyak sekolah, hospital malah anggota polis diperlukan dalam menjaga keselamatan negara.
“Dalam mencapai negara maju, azam saya adalah supaya keseimbangan sosial turut dicapai dan pencapaian itu mampan sebab itulah GST amat diperlukan,” jelasnya.