TAWAU: : Dua beranak rentung apabila rumah mereka di Tanjung Batu di sini terbakar awal pagi tadi.
Bukhari Langga, 57, maut dipercayai akibat terjatuh di depan bilik air ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya Nur Aishah, 22, yang terperangkap di dalam bilik rumah mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Ismaidi Ismail berkata anggota bomba menemui mayat Aishah pada pukul 6.45 pagi manakala mayat bapanya ditemui pada pukul 8.02 pagi.
Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat, katanya.
Beliau berkata kebakaran membabitkan 11 buah rumah, sebuah kereta dan sebuah motosikal yang pihak bomba menerima panggilan kira-kira 5.27 pagi.
Seorang lagi anak mangsa, Marwah, 31, berkata sebaik menyedari kebakaran itu, dia terus membangunkan anggota keluarganya sementara bapanya bergegas untuk menyelamatkan adik perempuannya yang berada di dalam bilik.
Ariffin, 62, pula berkata dia melihat kebakaran itu sebaik tiba di rumahnya selepas menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan.
“Saya melihat api sedang marak ketika hampir sampai di rumah saya. Saya kemudian menjerit kepada jira-jiran untuk menyelamatkan diri,” katanya yang bersyukur kerana anggota keluarganya terselamat dalam kebakaran itu.
Sementara itu Ismaidi berkata sebuah kilang di Kompleks Hap Seng turut mengalami kebakaran kecil yang melibatkan suis utama kompleks itu pada pukul 7.10 pagi.
Satu lagi kebakaran yang membabitkan kediaman pekerja sebuah syarikat di Jalan Bahagian turut berlaku pada pukul 8.24 pagi, katanya.