China menyatakan komitmennya untuk membeli 1.7 juta tan minyak sawit dari Malaysia sehingga 2023, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama susulan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, di sini, Selasa.
“Kami amat menghargai komitmen China untuk membeli 1.7 juta tan minyak sawit sehingga tahun 2023.
“Kami juga membincangkan peluang untuk menjalin kerjasama tiga hala menggunakan produk berasaskan kelapa sawit Malaysia untuk menangani keselamatan makanan di negara ketiga,” kata Hishammuddin.
Pada 2017, Malaysia mengeksport 2.87 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit bernilai RM9.42 bilion ke China.
Eksport produk minyak sawit ke China juga meningkat 17.8 peratus pada 2019 selepas menurun selama tujuh tahun berturut-turut.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat 438,747 metrik tan – atau 31.1 peratus – kepada 1,848,433 metrik tan untuk tempoh Januari hingga Ogos 2020.
Mengenai meningkatkan perdagangan minyak sawit Malaysia dengan China, Hishammuddin berkata kedua-dua pihak bersetuju mempromosikan produk minyak sawit yang mematuhi Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan label Makanan Hijau.
Katanya, Malaysia menghargai perjanjian China untuk mendorong perusahaannya meningkatkan import minyak sawit dan produk lain yang dihasilkan secara lestari sesuai dengan peraturan pasaran.
Dalam pertemuan selama dua jam itu, Malaysia dan China berharap rundingan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) dua hala dapat dimuktamadkan, yang akan menyediakan kerangka kerja kerjasama pragmatik lebih luas antara kedua-dua negara dalam pasca-COVID-19.
“Saya berharap dapat menandatangani MoU ini dalam lawatan balas saya ke Beijing apabila keadaan mengizinkan,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua negara juga sepakat menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk Kerjasama Pasca-COVID-19, yang dipengerusikan bersama oleh menteri luar kedua-dua negara.
Jawatankuasa itu akan mengawasi pelaksanaan semua kesepakatan yang dicapai dalam kerangka MoU, katanya.
Beliau menambah antara keputusan lain yang dicapai kedua-dua pihak ialah persetujuan untuk meneruskan perbincangan mengenai Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan perjalanan rasmi dan perniagaan kedua-dua negara.
“Walaupun pandemik COVID-19 belum berakhir, penting bagi kita untuk merancang dan berbincang lebih awal. Oleh itu, kita akan bersama-sama melancarkan RGL hanya apabila keadaan mengizinkan untuk kedua-dua negara melakukannya,” tambahnya.
Beliau berkata Wang juga mencadangkan Malaysia dan China saling melengkapi melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
“Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan padunya untuk BRI berdasarkan prinsip saling percaya, menguntungkan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Perbincangan turut menyentuh mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kedua-dua negara menunggu penandatanganan RCEP dan pelancaran Visi APEC Pasca-2020 bersama dengan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) pada akhir tahun.
“Di ASEAN, kami menyambut baik kerjasama lebih erat antara China dan semua negara anggota ASEAN. Kami juga menantikan sambutan ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China pada 2021, ” katanya.
Mengenai hubungan Amerika Syarikat-China, Hishammuddin berkata Malaysia berharap kedua-dua pihak berazam memperkukuh kepercayaan bersama dan terus mengadakan dialog sebagai jalan mengatasi perbezaan.
Wang, yang juga Anggota Dewan Negara China, kini melakukan kunjungan rasmi ke beberapa negara ASEAN – dengan Kemboja sebagai persinggahan pertamanya – sebelum tiba di sini pada Isnin untuk lawatan dua hari.
Kali terakhir beliau melawat Malaysia pada 2018.
— BERNAMA
Rujukan:
– Pakistan tidak mempunyai wang, kurang permintaan dalaman untuk membeli lebih banyak minyak sawit, kata penganalisis
– Eksport minyak sawit ke India jatuh hampir 50% pada bulan Januari, terendah dalam tempoh 9 tahun
– Kesan daripada negara India boikot minyak sawit dari Malaysia
– India kenakan cukai import terhadap minyak sawit Malaysia