Selepas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyebut tentang “kereta terbang” di Dewan Rakyat semalam, yang katanya akan diuji Khamis ini, ramai yang beranggapan yang dimaksudkan itu ialah unit dengan nama Vector, dan syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek itu ialah Aerodyne Group.
Andaian ini tentulah sangat berasas; model skala Vector – yang ketika itu didakwa sebagai sebuah prototaip – pertama sekali muncul di depan khalayak ramai ketika pameran LIMA 2019 pada bulan Mac lalu, dan ketika itu juga nama Aerodyne mula disebut-sebut dan dikaitkan dengan projek berkenaan. Petunjuk yang agak jelas waktu itu, ia merupakan sebuah projek yang melibatkan syarikat tempatan, dan ‘kereta terbang’ yang dimaksudkan ialah dron saiz besar yang menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI).
Namun, selepas berita tentang pandu uji ‘kereta terbang’ itu tersebar semalam, dan selepas membuat pengesahan maklumat, sesi berkenaan yang direncanakan di adakan di Subang, Khamis ini sebenarnya tidak melibatkan Aerodyne Group. Serta-merta persoalan baru timbul; syarikat mana yang dimaksudkan oleh menteri tersebut, dan ‘kereta terbang’ yang mana satu akan diuji?
Sebuah laporan susulan Berita Harian kemudiannya memberi suluh kepada duduk letak perkara sebenar; unit yang didakwa akan diuji itu dilaporkan sebagai sebuah usahasama Malaysia-China. Cuma, selepas pemerhatian lebih lanjut, model yang dimaksudkan itu ialah Ehang 216, hasil rekaan sebuah syarikat dari China – memetik laporan Berita Harian yang sama, ia adalah produk syarikat yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd.
Untuk di bawa ke sini, ia di dakwa melibatkan usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited. Jelas sekali ini adalah syarikat kerja sama untuk membawa masuk dan menguruskan operasi dron besar berkenaan.
Kembali menjadi persoalan ialah, jika Ehang itu adalah rekaan syarikat China, apa “pembangunan tempatan” yang ada pada model berkenaan, seperti yang kerap ditegaskan oleh menteri yang sama sebelum ini?
Memang betul, Ehang sejak awal lagi dibangunkan untuk menjadi Autonomous Aerial Vehicle (AAV), dan sudah banyak menjalankan ujian penerbangan di seluruh dunia. Itu tidak dinafikan. Cuma, jika model dari China inilah akhirnya yang dimaksudkan oleh menteri berkenaan selama ini, sekali lagi kami ingin bertanya; apa yang “pembangunan Malaysia” tentang projek ini?
Sehingga penjelasan rasmi lebih lanjut diberikan oleh pihak-pihak terlibat, ia hanya kelihatan bahawa kita sekadar bertindak sebagai pengedar untuk produk sedia ada dari China itu, dan bukanlah terlibat sama di dalam pembangunan produk berkenaan. Harapnya Khamis nanti akan lebih banyak maklumat yang didedahkan berkaitan hal ini.
EastCap Bhd adalah sebuah syarikat tempatan diterajui oleh Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari yang bertindak menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya. Dan, carian mudah di media sosial akan mempertemukan kita dengan aktiviti pemasaran yang dilakukan oleh EastCap.
Antaranya berita tentang Perjanjian Pembelian 1,000 unit dron di antara EastCap Berhad dengan Rumah Koperasi Indonesia (RKI). Tak ada apa yang salah tentang ini, melainkan ia mengukuhkan lagi bahawa kita hanya bertindak selaku pengedar atau penjual dron AAV berkenaan, bukan sebagai pembangun teknologi atau pereka kenderaan terbabit.