Amerika syarikat dihantui krisis hutang.
Eropah pula sibuk dengan longgokan hutang negara.
Ekonomi Jepun baru bangkit daripada malapetaka dahsyat dan di Asia Barat pula, berdepan ketegangan politik.
Apakah kesan perkembangan luar itu kepada ekonomi Malaysia?
Adakah semua itu mengheret dunia lebih khusus lagi Malaysia ke lembah kemelesetan?
Meja Ekonomi TV3 sediakan kupasan ini.
Diwarisi semasa krisis sub prima lalu, nasib Amerika Syarikat bak telur dihujung tanduk.
Jika gagal menaikan kadar siling hutang, alamatnya ekonomi Amerika Syarikat akan meleset.
DR YEAH KIM LENG / KETUA PAKAR EKONOMI, RAM HOLDINGS
Risiko kemelesetan terutama dengan ekonomi maju kini masih tinggi kerana krisis kewangan yang dihadapi ketika ini, saya berpendapat dalam tempoh 3 hingga 5 tahun, masalah struktur ekonomi yang kini telah menjadi hutang kerajaan dan defisit fiskal akan melembapkan pertumbuhan ekonomi negara maju.
Ditambah masalah di Eropah, Asia Barat dan kelembapan di Jepun, ekonomi dunia kini kelihatan kelam kabut.
Mungkinkah semua ini merencatkan ekonomi Malaysia, yang juga antara negara perdagangan utama dunia?
Pakar ekonomi melihat ekonomi Malaysia mampu bertahan dan kekal tumbuh melepasi 5 peratus bagi separuh kedua tahun ini.
Semua itu melalui pertumbuhan ekonomi secara domestik yang dipacu projek di bawah Program Transformasi Ekonomi, ETP.
Eksport dijangka sedikit terjejas, tetapi kekal kukuh dengan 50 peratus tertumpu ke pasaran China dan India.
DR YEAH KIM LENG / KETUA PAKAR EKONOMI, RAM HOLDINGS
Ekoran peningkatan perbelanjaan domestik dan permintaan ditambah dengan pelaksanaan polisi kerajaan seperti ETP yang melonjak tahun ini, kami menjangka permintaan domestik akan membantu mengurangkan kesan luaran yang lembap separuh kedua tahun ini.
Cabaran kini, katanya, pengawalan kadar inflasi.
Inflasi yang menokok pada 3.3 peratus bulan lalu dijangka melonjak dalam masa 2 hingga 3 bulan akan datang.