Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM), yang beberapa pegawainya sedang berhadapan siasatan pembocoran dan pemalsuan dokumen, mengeluarkan kenyataan mengesahkan sejumlah RM 2.6 Bilion dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tetapi bukan dari 1 Malaysia Development Berhad seperti yang didakwa.
Sungguhpun kita menerima kenyataan SPRM ini, namun apakah siasatan mereka tidak tercemar dengan tindakan beberapa pegawai dan Timbalan Pendakwaraya mereka yang sedang disiasat Polis? Apakah keputusan dan fakta RM 2.6 bilion tersebut sudah sah atau telah tercemar oleh beberapa orang pegawai mereka?
Kita tertanya-tanya darimana datangnya angka RM 2.6 bilion ini? USD 700 juta pada 2013 tidak memungkinkan angkanya ialah RM 2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri pada 2013.
Kita faham SPRM tidak boleh mendedahkan sumber penyumbang kepada umum. Nmaun SPRM perlu menjelaskan berapa banyak transaksi dan akaun yang menghasilkan RM 2.6 bilion itu.
Apabila Wall Street Journal dan Pakatan Rakyat menuduh Mohd Najib mengambil sejumlah USD 700 juta milik 1MDB ke dalam akaunnya, beliau menulis,
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri. Surat peguam tersebut meminta Wall Street Journal mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat menuduh saya menyalahgunakan dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad.”
Mohd Najib juga dalam perjumpaan dengan Majlis Tertinggi UMNO mengakui menerima dana untuk pilihan raya tetapi menafikan menerima dari 1MDB atau menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadinya. Mohd Najib juga tidak pernah memaklumkan berapa jumlah dana tersebut kepada mereka
Mungkin beliau sendiri tidak pasti jumlah dana tersebut dan perbelanjaannya, lalu mengarahkan pasukan khas menyiasat akaun tersebut.
Semalam Mohd Najib sendiri bersedia mengumumkan senarai penyumbang Pilihan Raya Barisan Nasional sekiranya semua parti politik bersetuju.
Selagi parti lain tidak bersedia mendedahkan sumbernya tiada sebab Barisan Nasional perlun mendedahkan.
Garis sempadan di sini ialah:
1. Mohd Najib tidak pernah menafikan akaun tersebut bukan milik beliau.
2. Mohd Najib tidak pernah menafikan beliau menerima dana melalui akaun tersebut.
3. Mohd Najib HANYA menafikan beliau menerima wang 1MDB seperti mana yang didakwa oleh WSJ, Tun Mahathir dan Pembangkang.
Lebih utama siasatan SPRM mendapati tiada wang 1MDB atau mana-mana pihak yang berunsur rasuah dikesan menyumbang ke dalam akaun Perdana Menteri untuk pilihan raya ini.