KUALA TERENGGANU — Mamalia terbesar di darat iaitu gajah juga mempunyai kebolehan untuk berenang jauh dalam air menggunakan belalainya untuk bernafas di permukaan, namun peluang untuk menyaksikan haiwan itu berenang adalah sesuatu yang jarang diperoleh.
Bagi Mohd Suwardi Muhamad Azmi, 37, pengalamannya terserempak dengan seekor gajah yang sedang berenang di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu baru-baru ini sangat menggembirakan selain ia petunjuk bahawa Tasik Kenyir masih menjadi lokasi habitat semula jadi mamalia itu.
“Ini bukanlah kali pertama saya melihat sendiri gajah berenang. Sejak mula bergiat aktif dengan aktiviti memancing pada tahun 2004, ini adalah kali keempat saya melihat haiwan itu berada dalam air.
“Namun, tak sangka pula, video yang saya kongsikan di Facebook itu mendapat perhatian ramai. Mungkin kerana masih ramai tidak tahu bahawa gajah adalah mamalia yang boleh berenang, jadi aksi itu menjadi bualan di Facebook,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Lihat video: https://youtu.be/RiBLCa3MfXc