Seramai 306 pelajar Malaysia yang berada di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia, akan terlibat dalam proses evakuasi daripada kawasan tersebut yang diisytiharkan darurat oleh kerajaan Indonesia akibat jerebu, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Daripada jumlah itu, 165 orang akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 141 orang, akan dipindahkan ke Dewan Malaysia (Malaysia Hall) di Jakarta berikutan urusan visa, katanya.
“Para pelajar yang akan dihantar pulang ke Malaysia akan menggunakan pesawat komersial bagi mempercepatkan proses evakuasi,” kata NADMA dalam kenyataan hari ini.
Baki 141 pelajar pula akan dipindahkan menggunakan pesawat tempatan ke Jakarta dan akan berada di pusat evakuasi Dewan Malaysia sehingga keadaan pulih, kata agensi itu.
NADMA berkata sebahagian pelajar yang dipindahkan ke Jakarta itu perlu memulakan permohonan visa semula yang akan mengambil masa agak lama, manakala sebilangan lagi adalah pelajar baru yang masih menunggu kelulusan permohonan Kartu Izin Tinggal Sementara (KITAS) daripada Imigresen Indonesia.
“Hasil kerjasama mantap semua pihak yang terlibat, kerajaan Malaysia yakin akan dapat mengeluarkan semua rakyat Malaysia yang terkesan di kawasan darurat jerebu ini dengan kadar segera,” kata NADMA.
Gabenor Riau, Syamsuar, telah mengisytiharkan darurat bermula semalam (23 Sept) hingga 31 Okt 2019 dan akan dilanjutkan jika keadaan pencemaran udara tidak berubah.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga 12 tengah hari tadi di Jambi adalah 763 manakala Pekanbaru adalah 694.
Menurut NADMA, Indonesia menggunakan PM10 untuk mengukur Indeks Pencemaran Udara (IPU) manakala Malaysia berdasarkan PM2.5
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk, ekoran bencana jerebu di Riau dan Jambi.
Wisma Putra berkata proses pemindahan itu akan dilaksanakan secara bersama dengan NADMA serta agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan.
Mengenai jerebu dalam negara, NADMA berkata situasi di Malaysia didapati bertambah baik, ekoran fasa peralihan monsun yang bermula hari ini dan akan berterusan sehingga awal November 2019.
Sehingga pukul 5 petang ini, lapan lokasi mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, manakala 59 lokasi dengan IPU tahap sederhana.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. — Bernama