Mengutamakan urusan untuk berangkat segera memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra yang mangkat semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menaiki pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400M ke Kelantan.
Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Kota Bharu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Almarhum Sultan Ismail Petra, 69, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pukul 8.11 pagi semalam.
Menurut akaun Instagram Istana Negara, Seri Paduka berdua berkenan berangkat menggunakan pesawat angkut TUDM kerana pesawat kerajaan digunakan untuk tujuan rasmi yang lain.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diiringi anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah serta pegawai-pegawai dan kakitangan Istana Negara.
Perkongsian di laman sosial itu turut memperlihatkan Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama kru penerbangan dan sebuah klip video yang merakam detik keberangkatan Seri Paduka dan rombongan.
Ia mendapat perhatian netizen dengan 7,341 ‘like’ setakat 2 petang ini serta komen positif yang memuji tindakan Seri Paduka berdua yang sanggup menaiki pesawat angkut, sekali gus menyerlahkan keperibadian tinggi pasangan diraja itu. — BERNAMA
LIHAT video
https://youtu.be/QldnwTsB5RE