UMNO tidak pernah membincangkan penubuhan kerajaan baharu melibatkan beberapa parti dalam Pakatan Harapan kecuali Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
Malah menurut Ketua Pembangkang, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak pernah menyuarakan cadangan tersebut secara peribadi kepadanya.
“Saya tidak tahu. Kita pun tak tahu. Tidak pernah (Hishammuddin maklumkan). Apa yang berkaitan dengan keputusan besar parti seperti ini mesti diputuskan oleh parti.
“Jadi tidak ada perbincangan, di peringkat Majlis Tertinggi pun tidak ada. Jadi ini tidak ada isu,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui di lobi Parlimen.
Untuk rekod, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong didakwa dalang menggerakkan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.
Dakwaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama pemimpin Pakatan Harapan iaitu Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Dakwaan ini dikatakan disuarakan berdasarkan penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang kelihatan cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik.
Hishammuddin telah menepis dakwaan tersebut yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal selain menganggap Pakatan Harapan cuba menjadikan parti pembangkang sebagai kambing hitam terhadap krisis dalaman yang dihadapi gabungan tersebut.-MalaysiaGazette