IPOH, 19 Okt — Kerajaan Perak tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan kempen ‘Utamakan Beli Produk Muslim’ atau Buy Muslim First (BMF) di masjid seluruh Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata ini kerana ia jelas bertentangan dengan polisi kerajaan negeri yang menggalakkan supaya masyarakat mengutamakan produk halal.
“Kerajaan sekarang sedang mempromosikan barangan halal tetapi jika tiba-tiba mengatakan beli barangan Muslim dahulu, jadi apa akan jadi kepada barangan bukan Muslim yang halal.
“Tidakkah di situ akan ada konflik di antara apa yang kerajaan hendak dan apa yang segelintir pihak ini buat?” katanya pada satu persidangan media selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Kerjaya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Perak 2019 di Mydin Mall Meru, di sini hari ini.
Semalam, sebuah NGO yang dikenali sebagai Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak telah menganjurkan Kempen BMF Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu 8, Hulu Kinta.
Asmuni berkata, penganjuran kempen itu bukan sahaja tidak memberi sebarang keuntungan kepada masyarakat Muslim malah dilihat rasis dan bersifat politik.
“Kita bukan tak menyokong produk-produk Muslim itu diberikan keutamaan tetapi pendekatan itu janganlah nampak rasis kerana yang kita nampak ia didalangi parti politik pembangkang. Jadi apa agenda mereka ini sebenarnya?” katanya.
Katanya beliau juga akan meminta penjelasan lanjut daripada Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, yang didapati turut terlibat secara langsung dalam penganjuran kempen berkenaan.
“Pihak kerajaan sendiri kesal penglibatan Jabatan Mufti Perak terutama ustaz Zamri Hashim sendiri yang sepatutnya memainkan peranan yang baik, bukan menjadi juara di sini. Saya akan panggil dia untuk penjelasan pada hari Isnin ini,” katanya. — Bernama