ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu sedia berdepan jawatankuasa disiplin parti DAP dan percaya beliau tidak bersalah kerana sebagai penyokong setia Pakatan Harapan adalah menjadi tanggungjawabnya bersuara bagi pihak rakyat.
“Dengan berbuat demikian saya dapat mengekalkan nilai-nilai demokrasi yang kita amalkan di DAP.
“Sama ada di hadapan jawatankuasa disiplin parti atau sebaliknya, saya akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan portal berita Malaysiakini.
Menurut Liu, semua ulasan dan pendapatnya yang beliau luahkan dibuat dengan tulus hati dan tidak mewakili pandangan parti.
Katanya, beliau tidak ada niat untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PH dan pastinya bukan dalam parti yang telah beliau berkhidmat selama bertahun-tahun.
“Banyak perkara yang saya bangkitkan juga adalah berdasarkan apa yang dinyatakan oleh masyarakat awam secara terbuka melalui media sosial,” katanya.
Kata Liu, rakyat prihatin dengan kerajaan yang mereka pilih tidak dapat menunaikan janji-janji dalam manifesto, khususnya apabila Perdana Menteri, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa manifesto itu dibuat ketika PH menganggap ia tidak akan menang dan menjadi kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak boleh membenarkan PH, malah perdana menteri sendiri, untuk mengheret kita ke jalan yang sama diambil oleh bekas rejim, Barisan Nasional,” katanya.
Beliau menyenaraikan perkara-perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat terhadap Dr Mahathir apabila banyak janji tidak dipenuhi.
“Antaranya, Lynas, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pemansuhan tol, pinjaman PTPTN, royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak, dan hak persamaan kaum India di Malaysia baru.
“Perdana menteri tidak boleh bertindak secara sepihak, terutama mengenai beberapa isu yang mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap PH,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP.
Liu turut menarik perhatian perkembangan mutakhir di mana yang Dr Mahathir telah menjengkelkan beberapa kerajaan dan negara hingga menjejaskan hubungan dua hala.
Sebagai contoh, katanya, India telah mengambil keputusan untuk memboikot minyak kelapa sawit negara dan tindakan itu akan membantutkan eonomi negara, terutamanya jika China juga bertindak sama susulan kenyataan Dr Mahathir mengenai ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam.
Liu turut membangkitkan persoalan jika desakan supaya tindakan terhadapnya dikatakan wajar, mengapa tidak ada tindakan yang diambil terhadap Mohammed Azmin Ali yang secara terbuka menolak konsensus Pakatan Harapan mengenai penyerahan jawatan perdana menteri?
“Apa pun keputusannya, saya akan tetap berpegang pada hati nurani sebagai wakil rakyat yang melihat rakyat sebagai ketua saya,” katanya.