Anak pelakon veteran Fauziah Nawi dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Mela, Jerantut.
Memaklumkan kejadian menimpa Pitt Hanif, isterinya Farah Ahmad berkata bot penulis skrip itu “terbelah dua”.
“Ini bot Pitt sebelum terbelah dua. Ini yang dia kongsi dengan kumpulan WhatsApp memancing tengah hari tadi sebelum kejadian berlaku,” tulisnya di Facebook hari ini, bersama sekeping foto.
“Insya lah kita akan jumpa. Masa jalan masuk dekat jambatan Farah rasa Pitt ada. Bertahan tau. Bomba terpaksa henti usaha pencarian hari ini sebab sudah lewat akan sambung esok.
“Terima kasih kawan-kawan yang datang dari KL, bomba dan orang kampung. Insya Allah kita jumpa ya Pittt. Farah tunggu ok,” coretnya lagi.
Pitt, nama asal Mohd Firdaus Mohamad Hanif, hujung Mac lalu memenangi anugerah cerita asal terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) 2019 untuk filem One Two Jaga.
Anugerah itu dimenangi bersama Muhammad Syafiq dan Namron.