PONTIAN: Barisan Nasional (BN) hampir pasti mengumumkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, malam ini.
Sumber berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat antara kepemimpinan tertinggi BN bersama parti komponen, lewat petang semalam.
“Ya, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng akan diumumkan sebagai calon BN malam ini, hasil persetujuan kepimpinan tinggi parti.
“Kompromi yang dicapai antara parti komponen BN menunjukkan parti masih menjunjung semangat permuafakatan yang diperjuang sejak penubuhannya.
“Selepas ini (pengumuman calon) masanya untuk kita bekerjasama, bersepakat dan gigih berusaha bagi memastikan kemenangan BN di Tanjung Piai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
BH hari ini melaporkan selepas mengambil tindakan mengejutkan dengan tidak mengumumkan calon untuk PRK Parlimen Tanjung Piai, Isnin lalu, BN dijadualkan berbuat demikian malam ini, dan hampir pasti menurunkan calon daripada MCA.
BN tidak mengumumkan calonnya Isnin lalu kerana UMNO dan MCA masih bertelagah dalam memilih calon PRK Parlimen Tanjung Piai.
Pemuda UMNO turut membayangkan kemungkinan calon MCA bakal dipilih, berdasarkan nasihat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menasihati anggota sayap parti itu berlapang dada dan menerima apa juga keputusan pimpinan.
Isnin lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Tanjung Piai.
Jeck Seng terpilih Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, calon PH dari BERSATU ketika bertanding bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi.