Ketua Pembangkang Johor, Ir Hasni Mohamad mengingatkan Senator DAP, Liew Ching Tong tentang orang Melayu di negeri selatan tanah air itu yang lain perangainya, amat waras dan dinamik.
Katanya, hal-hal berkaitan identiti dan hak keistimewaan Melayu masih penting bagi orang Melayu di Johor meskipun mereka dilihat moden dan sederhana.
“Malaysia Baru amat menekan dan mengancam budaya dan kehidupan kami di negeri ini. Kita boleh lihat bagaimana hari demi hari, para pemimpin DAP tidak putus-putus mempersoal dan mempersenda kami sebagai Melayu.
“Usahlah saya menyenaraikannya, kerana sudah tentu kertas dan pena tidak akan pernah mencukupi,” katanya dalam kenyataan sebagai reaksi kepada artikel Chin Tong yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan bertajuk Why we must defend the Pakatan Harapan government.
BACA sini: https://www.malaysiakini.com/news/495669
Sambil menyambut baik kenyataan Chin Tong yang antara lain mengakui bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bukan medan tempur yang mudah bagi Pakatan Harapan (PH), Hasni berkata, orang Melayu melihat DAP secara konsisten memainkan persepsi bahawa Muafakat Nasional UMNO-PAS adalah radikal, rasis dan ekstrem.
Katanya, DAP juga menanam tanggapan bahawa orang Melayu akan menjadi liar dan tidak bertamadun, lalu berpotensi untuk bertindak ganas dan melampaui batas ke atas orang bukan Melayu jika Muafakat Nasional dijayakan dengan sepenuhnya.
“Sebenarnya, dengan pembawakan seakan ini, DAP seniri telah menunjukkan ketidakpercayaan mereka terhadap pemikiran politik orang Melayu dan Islam.
“Lebih malang lagi, PPBM yang selama ini berpakat bersama DAP seakan rela menghalalkan perkara ini terjadi, dengan anggapan bahawa DAP boleh ‘dijinakkan’ demi kelangsungan kuasa mereka.
“Mungkin DAP dan Pakatan Harapan lupa, bahawa orang Melayu Johor merupakan sebuah bangsa yang rasional dan beradab.
“Mereka melihat dan memerhati, yang mana angkuh terbawa, tampan tertinggal. Kerana sekarang, rakyat sudah sedar bahawa satu undi untuk Pakatan Harapan ibarat pisang mas di luar, onak di dalamnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor menegaskan bahawa Muafakat Nasional UMNO-PAS tidaklah seperti yang difahami oleh DAP dan ia telah terbukti dengan pencalonan Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon Barisan Nasional di Tanjung Piai.
Katanya, agenda penyatuan ummah ini tidak sesekali mengganggu persefahaman, prinsip konsensus serta kongsi kuasa antara parti-parti komponen Barisan Nasional.
“Kita bukanlah Taliban dan rasis seperti yang dicanangkan Pakatan Harapan,” katanya
Hasni turut menarik perhatian mengenai tindakan PH memperlekehkan ketiadaan bajet alternatif di pihak pembangkang di mana menurut beliau itu bukan bermakna politik UMNO tidak berorientasikan ekonomi dan polisi.
“Lebih dari 60 tahun, kita telah berjaya mengemudi ekonomi Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah atas dengan kegiatan ekonomi yang pelbagai dan produktif.
“Sesungguhnya, Barisan Nasional tidak perlu bersaing dengan kerajaan yang hanya berusia setahun lebih seperti Pakatan Harapan.
“Ikhtiar kita untuk memajukan ekonomi bangsa serta negara telah terbukti nyata dan sedang dinikmati oleh semua sehingga ke hari ini. Apatah lagi kerajaan yang menghasilkan manifesto semata-mata untuk kuasa, ibarat menanam tebu di tepi bibir semata,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks negeri Johor sendiri, ketiadaan visi ekonomi dan pembawakan baharu di bawah pentadbiran Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai menteri besar amat mengecewakan.
Katanya, kebajikan dan kemajuan orang kampung serta orang muda di Johor telah diketepikan, lebih-lebih lagi peneroka FELDA dan petani, pekebun kecil serta nelayan.
Sehubungan dengan itu, Hasni menyeru pengundi Tanjung Piai dan rakyat Johor menjadikan PRK 16 November ini sebagai titik mula untuk mengembalikan semula dekad yang hilang itu. – MalaysiaGazette