SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran.
Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Okt lepas.
Gunasekaran bagaimana pun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.