Bekas presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Rais Yatim membidas presiden universiti itu Mohd Abu Bakar susulan tugu keris yang dialihkan daripada pintu masuk utama kampus di Gombak, Selangor.
Tugu keris itu yang terletak di air pancut digantikan dengan struktur rehal.
Menurut jurucakap universiti itu, keris itu dipindahkan ke lokasi baru berdekatan Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar.
Diminta mengulas pemindahan itu, Rais berkata: “Lain pemimpin, lain misi. (Tetapi) presiden kini tak ada modal selain pinda sumbangan orang terdahulu.”
“Lambang keris dan rehal (sebelum ini) bersama amat mencerminkan keperwiraan dan al-Kitab dan disumbangkan oleh Yayasan Albukhary pada 2014 dengan kos RM1.5 juta.
“Presiden parut hormat budi yayasan itu. Mungkin dia kekeringan idea baru,” kata Rais.
Mohd Abu Bakar mencadangkan tugu keris itu dipindahkan pada Julai lalu.
“Seperti yang anda tahu, universiti adalah pusat pembelajaran dan perbincangan intelektual. Maka kita boleh ada sama ada qalam, pen atau kitab. Saya fikir untuk cadangkan perkara ini kepada rektor untuk pertimbangkan sesuatu yang lebih baik daripada keris,” katanya ketika itu.
Dirasmikan oleh Rais pada 2014, tugu keris bersama air pancut itu dikritik sesetengah pihak yang menganggapnya satu pembaziran.
Rais ketika itu menjelaskan ia tidak menggunakan dana UIAM.
Hari ini, seorang warganet memuat naik gambar dan video proses pengalihan tugu keris itu dengan kren.
“Arakian tanggal 9 November 2019 bersamaan Sabtu (hari ini), maka tamatlah riwayat sang keris yang telah berbakti di zaman kegemilangan presiden dari negeri sembilan (Rais),” katanya mengiringi hantaran itu.