Media antarabangsa yang berpangkalan di Hong Kong, Asia Times dalam laporan terbarunya mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilihat berkunjung ke Ahmedabad, India awal bulan ini.
Malah dakwa Asia Times yang meghubungi pihak berkuasa negara itu berkata, polis sebenarnya memantau pergerakan Jho Low di Ahmedabad selama tiga hari di situ.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang usaha untuk menangkap ahli perniagaan itu walaupun mempunyai notis merah daripada Interpol sebelum ini.
Malah Jho Low bukan sahaja sangat dikehendaki di negara ini malah Singapura juga kerana dipercayai terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dibicarakan ketika ini.
Jho Low dikatakan telah telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa India iaitu Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad dengan jet peribadi, Gulfstream G200 pada 5 November lepas.
Kapalterbang yang dinaiki Jho Low dikatakan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bagaimanapun syarikat penerbangan dari Thailand, MJets pula menafikan bahawa Jho Low berada di dalam penerbangan mereka sambil menyatakan bahawa berita itu tidak berasas sama sekali dan tidak benar.
Sebelum ini pelbagai spekulasi bahawa Jho Low sedang bersembunyi di beberapa negara termasuk China, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Arab Saudi serta negara pulau Caribbean di St. Kitts dan Nevis.
Jho Low juga dikatakan memiliki kewarganegaran dari St Kitts dan Nevis sebelum pihak berkuasa baru-baru bertindak membatalkan kewarganegaraan tersebut.
Malah Cyprus juga telah membatalkan kewarganegaraan Jho Low baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jho Low seolah-olah memiliki kekebalan sehingga ahli perniagaan itu sukar di tangkap malah ada juga dakwaan kononnya Jho Low telah menukar wajahnya kepada ‘beruang’.
Ada juga desas desus yang mengatakan India ‘enggan’ bekerjasama memberkas Jho Low kerana keengganan Malaysia mengektradisi penceramah terkenal, Dr Zakir Naik yang juga dikehendaki negara itu.