Warga Malaysia yang tinggal di Kaherah dinasihatkan supaya mematuhi perintah berkurung dan sekatan-sekatan lain yang dikenakan pihak berkuasa berikutan pertempuran terbaru di ibu negara Mesir itu.
Dalam satu kenyataan Isnin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, ketika menyatakan pandangan berat terhadap kejadian terbaru itu, menasihatkan mereka jangan berjalan/memandu seorang diri dan mengelakkan semua kawasan yang terlibat dengan pertempuran terutama kawasan berhampiran bandar Kaherah dan Medan Tahrir.
Rakyat Malaysia juga dinasihatkan melaporkan segera sebarang kejadian ke Kedutaan Malaysia di Kaherah.
Kedutaan itu sedang memantau keadaan dari dekat, kata beliau.
Pada Ahad, pertempuran meletus antara puak Kristian dan askar Mesir selepas berlaku protes di Kaherah terhadap serangan ke atas sebuah gereja di wilayah Aswan minggu lepas.
Sekurang-kurangnya 24 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 200 yang lain cedera dalam insiden itu.
Berikutan itu, pemerintah tentera Mesir mengenakan perintah berkurung di Medan Tahrir dan bandar Kaherah dari 2 pagi hingga 7 pagi waktu tempatan pada Isnin.
Anifah berkata tidak ada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu setakat ini.