Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Damansara Utama Ogos lalu.
Menurut beliau, kenyataan Dr Abdul Aziz itu seolah-olah memberi bayangan bahawa Sultan Selangor mengambil sikap berpihak dalam memutuskan perkara tersebut.
“Raja-raja Melayu tidak pernah ambil sikap memihak. Jika kita ingat kembali sikap Almarhum Sultan Salahuddin, baginda akan tegur sesiapa saja yang memerintah Selangor pada waktu itu.
“Raja-raja Melayu bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan rakyat dibawah naungan baginda. Jadi dakwaan mengatakan baginda mengambil sikap berpihak adalah satu putar belit dan kebiadapan melampau,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Rabu.
Jelas beliau, seperti yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, hal ehwal agama Islam Selangor terletak di bawah bidang kuasa Tuanku Sultan Selangor.
“Oleh itu, Menteri Besar, ahli exco dan kerajaan negeri tiada kuasa dalam isu ini. Hal Ehwal Islam di peringkat negeri terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu. Sudah menjadi kewajiban Sultan untuk pertahankan dan mendaulatkan agama Islam,” ujarnya.
Zulkifli berkata, dalam isu serbuan ke atas gereja itu, kes tersebut tidak dibawa ke mahkamah kerana saksi tidak mahu memberikan kerjasama.
“Buat apa kalau pihak pendakwa raya bawa kes ini ke mahkamah jika tahu saksi enggan bekerjasama. Tidakkah ia akan memalukan agama Islam? Kita tidak mahu perkara ini berlaku…oleh itu, baginda keluarkan kenyataan untuk pertahankan umat Islam,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mencabar Dr Abdul Aziz supaya meletak jawatan selaku pensyarah dan bertanding dalam pilihan raya akan datang jika mahu berpolitik.
“Kalau hebat sangat berpolitik, letak jawatan dan bertanding dalam pilihan raya. Cara dia bertindak tidak menggambarkan dirinya sebagai pakar perlembagaan dan juga ahli akademik,” katanya.
Kenyataan Dr Abdul Aziz itu turut menerima kritikan pelbagai pihak kerana memburuk-burukkan institusi raja.