Najib Razak turut berharap polis menjalankan siasatan semula kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, selepas seorang bekas polis mengaitkannya dengan ahli parlimen Pekan itu.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mendakwa Azilah Hadri – yang kini menjadi banduan akhir kerana sudah dihukum mati – digunakan oleh pihak tertentu untuk memenjarakan bekas perdana menteri terbabit.
“Saya harap mereka (polis) akan menyiasatnya semula. Anak guam saya (Najib) mahu mereka menjalankan siasatan.
“Kami mahu tahu siapa yang meletakkan Azilah dalam sumpah bohong ini? Siapa di belakang perakuan sumpah bohong ini?” katanya kepada media di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.
Shafee berada di Istana Kehakiman itu untuk mengemukakan permohonan menjadi pencelah dalam usaha Azilah menyemak semula sabitan Mahkamah Persekutuan terhadap tuduhan ke atasnya pada 2015.
Menurut peguam kanan terbabit, pihaknya yakin Azilah – yang dituduh membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan di mahkamah dua tahun kemudian – tidak bertindak sendirian.
Pada masa sama, Shafee berkata pihaknya faham bahawa bekas pegawai polis berpangkat cif inspektor itu berada dalam keadaan terdesak.
Semalam Malaysiakini melaporkan Azilah mendakwa Najib mengeluarkan arahan agar dia membunuh Altantuya.
Hakim jalankan tugas baik
Melalui perakuan bersumpah (SD) berkenaan Azilah yang ketika itu berkhidmat dalam pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) diminta mengikut arahan “shoot to kill” (tembak mati) dibuat Najib.
Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.
Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.
Dalam reaksinya pula Najib berkata dakwaan berkenaan mungkin sebahagian daripada komplot PH untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan pentadbiran kerajaan.
“Ini semata-mata rekaan oleh mereka yang terdesak untuk mengelakkan diri daripada tali gantung.
“Kenapa maklumat ini tidak keluar sebelum ini, tetapi hanya sekarang selepas lebih satu dekad selepas kematiannya dan hanya selepas 19 bulan PH berkuasa?” soalnya.
Kata Shafee SD Azilah itu didalangi pihak tertentu untuk memenjarakan Najib selepas perbicaraan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang harap bekas presiden Umno itu didapati tidak seperti yang diharapkan.
“Saya fikir mereka dapat lihat kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB tidak berjalan lancar.
“Agak jelas hakim-hakim terbabit menjalankan tugas dengab baik dan ia tidak seperti yang diinginkan sesetengah orang.
“Mereka mahu memenjarakan anak guam saya sejak awal. Jadi saya rasa ini adalah cubaan ketiga mereka.
“Ini adalah langkah terdesak orang tertentu untuk memangsakan pelanggan saya yang sudah menjadi sangat popular,” katanya.
Bagai lembu melompat ke bulan
Shafee juga secara sinis berpendapat SD Azilah itu sesuatu yang lucu.
Katanya, tindakan Najib yang membuat isyarat potong leher kepada Azilah seperti didakwa bekas anggota polis terbabit dalam SD berkenaan semasa “mengarahkan” pembunuhan Altantuya.
“Apabila saya membaca beberapa fakta ini, saya fikir agak lucu bahawa anak guam saya – bekas timbalan perdana menteri, bekas perdana menteri – boleh memberitahu Azilah agar bukan sahaja perlu tangkap wanita itu tetapi kamu harus membunuhnya.
“Dan (memasa mengarahkan) membunuhnya, dia (Azilah) menunjukkan dalam SD dia bahawa Najib dikatakan membuat begiini (gerakan potong leher).
“Ia benar-benar mendatangkan ketawa. Dan ini nampaknya (didakwa) diulang oleh Razak Baginda.
“Ini memang tidak boleh dipercaya, sama seperti tak boleh percaya bahawa lembu boleh melompat ke bulan. Begitulah mengarutnya benda ini,” katanya.