Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bukan mengenai politik atau agama, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya adakah himpunan wakil-wakil negara Islam itu akan membuat pendirian berhubung isu Uighur di Xinjiang, China dan operasi pakatan tentera pimpinan Arab Saudi di Yaman.
Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan aktivis berkata sekurang-kurangnya 1 juta Uighur dan kumpulan minoriti beragama Islam lain ditahan di kem-kem di Xinjiang dalam tindakan keras yang bermula sejak 2017.
Beijing menafikan sebarang penganiayaan terhadap Uighur dan minoriti lain di Xinjiang, mengatakan ia hanya menyediakan “latihan vokasional” untuk membasmi sikap militan dan mengajar kemahiran baru.
Campurtangan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi di Yaman pada 2015 memburukkan lagi konflik hampir 5 tahun di negara Asia Barat itu sejak gerakan Houthi menyingkir kerajaan Abdrabbuh Mansur Hadi.
PBB cuba menghidupkan kembali rundingan politik bagi menamatkan perang yang membunuh puluhan ribu orang dan menyebabkan jutaan hidup di ambang kebuluran.
Mahathir juga ditanya ditanya mengenai undang-undang kerakyatan yang diluluskan India baru-baru ini, yang dikritik sebagai diskriminasi terhadap orang Islam dan mencetuskan tunjuk perasaan di serata negara itu.
“India yang mendakwa ia negara sekular sekarang mengambil tindakan-tindakan untuk menafikan kerakyatan bagi orang-orang Islam. Kalau kita buat demikian, anda tahu ia akan menyebabkan huru-hara,” katanya.
Mahathir menarik perhatian kepada penerimaan Malaysia terhadap orang-orang bukan Melayu sebelum ini.
“Kita terima orang-orang India dan Cina yang datang ke negara ini, kita beri mereka kerakyatan walaupun ada yang tidak layak, malah ada pun yang berkhidmat dalam kerajaan.”
Pentadbiran Narendra Modi berkata Akta Pindaan Kewarganegaraan itu untuk membantu minoriti bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang datang ke India sebelum 2015 dengan memberikan mereka kerakyatan India.
Penunjuk perasaan berkata pengecualian terhadap orang Islam itu menunjukkan berat sebelah terhadap komuniti itu, yang membentuk 14% daripada penduduk India, dan undang-undang baru itu langkah terbaru kerajaan nasionalis Hindu meminggirkan mereka.