(Berita Harian) – Keputusan ujian poligraf dilakukan ke atas bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther di Bukit Aman pada Disember lalu tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan ini kerana tiada peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, ujian poligraf sekadar membantu polis menjalankan siasatan selain meyakinkan pihaknya sama ada Muhammed Yusoff bercakap benar atau sebaliknya.
“Ujian poligraf tetap membantu dalam siasatan dan meyakinkan polis sama ada dia bercakap benar atau tidak.
“Selepas dia (Muhammed Yusoff) tak bercakap benar, kita jangan buang masa kitalah. Kalau ujian poligraf kata dia cakap benar, kita cuba cari bukti lain.
“Tetapi, kalau tak dapat juga… tiada gunalah. AG (Peguam Negara) pun kata kalau bawa pergi mahkamah pun kalah, buang masa dia. Tetapi kita tidak akan lampirkan keputusan ujian poligraf sebagai bukti dalam mahkamah. Ia tak dibenarkan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Bersatu Khazanah di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
Semalam Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faisah Engku Atek dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kertas siasatan diterima daripada polis, pihaknya mendapati terdapat percanggahan fakta yang material untuk membuat pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh membuat perlakuan tidak senonoh ke atas Muhammed Yusoff.
Engku Nor Faisah dilaporkan berkata, pihaknya mendapati tidak cukup bukti untuk mendakwa sesiapa termasuk Anwar dalam kes berkenaan.
Oktober lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan undang-undang sedia ada seperti Akta Keterangan 1950 perlu dipinda jika terdapat cadangan untuk menggunakan ujian poligraf untuk pembuktian kes di mahkamah.