Biar pun Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin telah menafikan dakwaan ada membuat permohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun hari ini tular gambar borang permohonan menteri itu di media sosial.
Ia termasuk beberapa keping gambar yang didapati menggunakan nama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memohon untuk menyertai Bersatu.
Tangkap layar lima keping gambar itu mendapati nama Zuraida ditulis bagi memohon keahlian seumur hidup dan membayar yuran keahlian sebanyak RM100 dan yuran keahlian parti sebanyak RM2.
Bagaimanapun, borang keahlian itu tertera borang bagi ahli Parlimen Subang dengan nombor siri 00027.
Surat permohonan itu diterima bahagian keahlian Bersatu bertarikh hari ini dengan tandatangan penyerahan oleh wakil Zuraida.
Di Johor, Johor Zuraida berkata tidak akan menyertai Bersatu sekiranya dia dipecat sekalipun daripada PKR.
“Sertai Bersatu, siapa yang beritahu? Anda tidak boleh mendengar khabar angin,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan penggunaan kereta elektrik oleh Majlis Bandaraya Pengerang hari ini.
Malah dalam pesanan Aplikasi WhatsApp, Zuraida menegaskan, ia adalah berita palsu.
“Hahaha! Of course this is fake” katanya.
Turut diterima sepucuk surat berkepala KPKT yang ditujukan khas kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam surat berkenaan, Zuraida didakwa berkata, permohonan itu adalah sebagai bukti kesetiaan beliau terhadap kepimpinan Mahathir selaku Perdana Menteri.
“Dengan ini, sebagai membuktikan kesetiaan saya dan pasukan terhadap Tun, saya melampirkan borang permohonan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk rujukan.
Semoga dengan langkah ini, Tun dapat mempertimbangkan kedudukan saya sebagai anggota Jemaah Menteri sekaligus terus berkhidmat di bawah kepimpinan dan wawasan Tun,” tulis surat berkenaan.
Ahli Parlimen Ampang itu kini dihimpit isu pemecatan apabila diarahkan untuk mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Lembaga Displin PKR.
Tempoh 14 hari diberikan kepada Zuraida berhubung ucapannya di sebuah hotel pada awal bulan lalu yang menghina Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette