BALI – Dua wanita akan mengambil tindakan undang-undang terhadap jirannya setelah didakwa mengambil gambar mereka dalam keadaan tidak berpakaian ketika sedang mencuci pakaian di sungai Kampung Mendoyo, Bali Indonesia, Sabtu lalu.
Gambar mereka dirakam tanpa kebenaran itu dimuat naik di Facebook hingga tular di media sosial.
Lapor Daily Star, seorang lelaki berusia 28 tahun didakwa merakam gambar mereka menggunakan telefon bimbitnya semasa wanita berkenaan berusia 30 tahun dan 50 tahun sedang mencuci pakaian di sungai terbabit.
Ketua kampung, Putu Ediana berkata, keluarga mangsa berang dengan tindakan lelaki itu dan membuat laporan polis bagi memberi pengajaran kepada lelaki yang disifatkan sangat biadab.
“Saya kesal dengan sikap lelaki itu kerana ia berlaku di kampung ini,” katanya.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, suami kepada mangsa mengetahui perkara tersebut di Facebook.
“Sudah tentu mereka marah kerana melibatkan kehormatan diri isterinya.
“Suami masing-masing meminta lelaki itu memadamkan foto berkenaan,” katanya.
Sementara itu, polis belum menerima apa-apa laporan polis berhubung insiden itu.