Masjid Putra, di sini, ditutup untuk lawatan bagi pengunjung bukan beragama Islam bermula pukul 2 petang tadi susulan kebimbangan terhadap wabak 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV).
Jurucakap pengurusan Masjid Putra ketika dihubungi Bernama berkata penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak dan buat masa ini masjid tersebut hanya dibuka kepada pelawat beragama Islam untuk menunaikan solat.
“Pelawat bukan Islam masih boleh mengambil gambar, tetapi sehingga hadapan pintu gerbang masjid sahaja (sebelum pos kawalan masjid),” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati ribuan pelawat membanjiri persekitaran Masjid Putra serta Dataran Putra untuk beriadah dan mengambil gambar sempena cuti umum Tahun Baru Cina.
Di pos kawalan masjid, kelihatan beberapa orang petugas sibuk memberi penerangan kepada pelawat bukan Islam mengenai larangan tersebut dan mereka dilihat mematuhi arahan yang diberikan.
Setakat ini, empat kes Koronavirus disahkan di negara ini yang kesemuanya pelancong dari China. — Bernama