SUNGAI PETANI: Tiga lelaki termasuk 2 beranak parah, manakala seorang lagi cedera ringan akibat diserang seekor babi tunggal dalam kejadian di Kampung Baru, Simpang Pasir, Jeniang, petang semalam.
Seorang daripada mangsa, Shahrin Shariff, 47, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika dia sedang berehat di rumah selepas pulang berniaga air di Jeniang.
Katanya, dia kemudian terdengar jeritan bapanya, Shariff Yunus, 74, yang berada di luar rumah, tiba-tiba diserang haiwan berkenaan.
“Saya cuba membantu bapa yang rebah dan sedang bergelut dengan babi tunggal itu dengan mengambil kayu dan memukul babi itu, haiwan tersebut kemudian menerkam dan menggigit tangan kanan saya pula.
“Saya cuba melepaskan tangan dari mulut babi itu sebelum adik saya, Shamsul, 45, yang tinggal bersebelahan rumah datang membantu memukul dengan kayu sebelum dia pula diserang…tidak lama kemudian babi itu berhenti dan pergi berkubang di kawasan berlumpur di kawasan berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Sebelum itu, babi hutan yang dianggarkan seberat 200kg itu, turut menyerang dan mencederakan seorang pekerja kedai makan, Ibrahim Sulong, 31, di kedai makan yang terletak berhampiran rumahnya.
Ekoran serangan itu, Shahrin berkata dia mengalami kecederaan di pergelangan tangan, jari hantu kanan dan jari kelingking kiri serta paha kiri terkoyak, sementara bapanya mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kanan, tangan kiri dan paha kiri.
“Saya diberitahu pekerja kedai makan itu turut parah, manakala adik saya hanya mengalami cedera ringan di bahagian dada,” katanya.
Katanya, mereka bertiga kemudian dibawa Hospital Sik sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk menerima rawatan.
Katanya, kejadian serangan babi itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan walaupun sering melihat kelibat sekumpulan babi berkeliaran.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi berkata, operasi memburu babi tunggal itu telah dilakukan dan berjaya menembak mati haiwan liar berkenaan kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.