BENGALURU – India melaporkan kes pertama koronavirus apabila seorang wanita dari negeri Kerala disahkan positif hari ini,lapor Reuters.
Pesakit itu dikenalpasti sebagai pelajar dari Universiti Wuhan di China yang baru pulang ke tanah airnya.
Kerajaan India dalam kenyataan rasmi hari ini menyatakan pelajar wanita itu kini diisolosi di sebuah hospital di Kerala dan keadaannya stabil.
Setakat ini 170 orang terkorban akibat jangkitan koronavirus di China yang sudah tersebar ke negara serangtau Asia termasuk Malaysia dengan lapan disahkan positif sehingga hari ini.
“Kami telah menghantar sampel darah lebih 20 orang individu di Kerala.
“10 sampel diterima sebagai negatif, enam lagi masih diuji manakala sampel pelajar wanita dari Wuhan disahkan positif,” kata Menteri Kesihatan Kerala, K.K.Shylaja Teacher.
Pesakit wanita itu kini dirawat secara khas di daerah Trissur.
India selaku negara kedua tertinggi populasi rakyat selepas China berjaya mengambil langkah awal memastikan semua warga negaranya yang balik dari China melaporkan diri dengan kementerian kesihatan untuk tindakan lanjut.
Setakat ini seramai 806 warga negara India pulang dari China dan diletakkan dibawah pemerhatian ketat di Kerala untuk mengenalpasti sebarang petanda awal jangkitan virus itu, kata kerajaan negeri Kerala semalam.
Bagaimanapun seorang pegawai tertinggi kerajaan India menasihatkan membawa balik rakyatnya dari Wuhan bukan langkah bija buat masa in memandangkan risiko jangkitan virus itu agak tinggi tetapi pesawat khas diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan kemudahan lain untuk mengkuarantinkan mereka yang disyaki dijangkiti virus itu.
Jangkitan virus itu dilaporkan di 16 negara setakat ini dengan 105 kes positif, namun setakat ini tidak ada sebarang kematian dilaporkan dalam kes di luar China.