ISU mengenai usahawan terkenal, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang berpakaian seperti wanita sewaktu mengerjakan ibadah umrah di Makkah ternyata menimbulkan kemarahan ramai.
Selain dihujani kecaman di media sosial, ia turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.
Mujahid berkata bentuk badan Sajat tidak menjadi isu sekiranya dia berpakaian mengikut fitrah jantina asalnya iaitu seorang lelaki.
“Kembalilah kepada fitrah asal dan hormatilah agama dengan kita mengikuti ajarannya.
“Pakaian, kalau lelaki, pakailah macam lelaki. Tidak kira dia (perlu) berpakaian lelaki (walau) bentuk dia macam wanita… itu bukan isu.
“Tapi dia kena kembali kepada fitrahnya sebagai seorang lelaki seperti termaktub dalam kad pengenalan, DNA dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita pada Isnin.
Mengulas keberadaan semasa Sajat, Mujahid turut memberi nasihat agar dia pulang ke tanah air.
Malah katanya, tindakan Sajat yang berkelakuan sedemikian di Tanah Suci juga boleh menjejaskan imej Malaysia.
“Please do so (pulang ke Malaysia). Saya ingin menggunakan platform ini untuk beritahu dia, jangan kerana perbuatan anda, ia menimbulkan kebimbangan dan kemarahan orang awam.
“Yang kedua, fikirlah bahawa tindakan yang anda lakukan di negara orang, bumi Makkah dan bumi Madinah, akan terjejas imej kita dan mungkin boleh menjadi satu isu antara negara,” ujarnya.
Namun kata Mujahid, dia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memperkatakan mengenai tindakan yang boleh dikenakan kerajaan Arab Saudi ke atas usahawan itu.
Tambahnya, Arab Saudi mempunyai undang-undang tersendiri dan sesiapa sahaja yeng berkunjung ke negara itu sepatutnya menghormati segala ketetapan yang telah termaktub.
Dalam pada itu, Mujahid turut mengulas kebimbangan orang ramai sekiranya tindakan Sajat akan menjejaskan kuota kemasukan rakyat negara ini ke Arab Saudi.
“Tidak ada… itu tidak ada, saya rasa ini kita tak boleh jadikan sebagai satu alasan. Ia lebih kepada individu yang perlu ditangani secara individu.
“Ia tak akan memberi kesan kerana ia merupakan perbuatan individu yang tidak mewakili polisi kita dan ia bertentangan dengan Islam untuk memakai pakaian yang tidak sepatutunya dipakai di Makkah dan Madinah serta memberitahu satu dunia bahawa anda melakukannya.
“Itu isu lain yang saya rasa kita kena ambil sikap yang agak tegaslah,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut tindakan usahawan dengan 1.4 juta pengikut Instagram itu yang berkongsi foto-fotonya di Tanah Suci, Mujahid berkata ia tertakluk kepada undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kita boleh tengok dari segi dia muat naik benda itu dalam Instagram dan Facebook, di situ mungkin ada undang-undang yang kita ambil atas sebab menimbulkan sensitiviti dan kemarahan orang ramai.
“Tapi ia bukan di bawah bidang saya, sebab itu di bawah SKMM, akta SKMM dan lebih penting saya minta juga berita-berita fake news yang timbul hasil daripada berita-berita ini, kita pada waktu yang sama kena menjaga keselamatan dan nyawa beliau.
“Kita tidak mahu timbul kata dia akan dibelasah… dia akan dipukul, saya harap konsulat kita di Saudi mengambil perhatian inilah,” ujarnya lagi.