Cadangan Pas untuk membawa usul undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat bulan depan akan dibincangkan di peringkat UMNO.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pas telah memaklumkan perihal cadangan tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional yang berlangsung malam ini (10 Feb).
Katanya, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat apabila tiba masanya.
“Itu tadi dibentang oleh Pas, YB Tuan Ibrahim membentangkan. Kita pun nak tahu apa bendanya. Jadi telah dibentangkan dan UMNO ambil maklum. Kita akan bincang juga di iperingkat parti dan kita akan buat keputusan bila sampai masanya,” katanya.
Ditanya sama ada UMNO akan menyokong usul tersebut, Mohamad berkata, tidak timbul soal sokong atau sebaliknya kerana usul belum pun dibuat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional yang berlangsung selama tiga jam di Menara Dato Onn, PWTC di sini, malam ini.
Selain Tuan Ibrahim, hadir sama pada mesyuarat itu, Setiusaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Ketua Penerangan Pas, Kamarulzaman Ahmad dan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Dalam perkembangan sama, Mohamad memberitahu, banyak perkara dibincangkan pada mesyuarat malam ini yang menjurus kepada hala tuju Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, kedua-dua parti juga akan mengadakan retreat antara pimpinan kedua-dua parti dalam usaha memperkemaskan Muafakat Nasional yang perlu dijiwai oleh semua orang.
Tambahnya, menerusi perjumpaan itu nanti ia akan dapat membentuk satu gerak kerja yang lebih baik menjadikan Muafakat Nasional sebagai satu permuafakatan bersama. – MalaysiaGazette