- Kes baru yang disahkan Hubei ditambat pada 14,840, hampir 10 kali lebih tinggi daripada hari sebelumnya, manakala kematian lebih daripada dua kali ganda kepada 242
- Peningkatan berpunca dari perubahan dalam kaedah kriteria diagnostik
BEIJING: Wilayah Hubei di China, tempat tercetusnya penularan penyakit virus korona COVID-19, pada Khamis (13 Feb) melaporkan hampir 15,000 kes baru dalam masa sehari.
Sebanyak 14,840 kes baru dikesan membawa kepada 48,206 kes jangkitan keseluruhannya, menurut suruhanjaya kesihatan tempatan menerusi laman webnya.
Angka korban akibat virus itu pula meningkat sebanyak 242, menjadikan jumlah kematian yang dilaporkan di Hubei naik kepada 1,310.
Dengan itu, jumlah kematian yang dilaporkan di tanah besar China sudah meningkat kepada 1,355.
Lonjakan besar itu dilaporkan sedang para pegawai tempatan berkata mereka sudah memperluaskan definisi bagi kes COVID-19 dan mula memeriksa kes-kes yang didiagnosis menerusi kaedah klinikal yang baru.
Secara keseluruhannya, jumlah orang yang dijangkiti COVID-19 di China sahaja sudah mencecah hampir 60,000.
Sebelum ini, kepimpinan China memuji “hasil positif” dalam usaha-usaha untuk membendung penularan virus tersebut.
Bagaimanapun, China turut memberi amaran bahawa ia masih lagi berdepan dengan “perang berskala besar” terhadap penularan virus itu.