Pemimpin Pakatan Harapan di Sabah mengeluarkan nama individu yang bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali daripada kumpulan aplikasi perbualan susulan krisis politik di peringkat nasional.
Sumber dari PKR Sabah berkata, arahan diberikan untuk mengeluarkan ahli politik dan ahli parti dalam saluran komunikasi parti yang dilihat memudaratkan kesejahteraan parti, khasnya mereka yang bersekutu dengan Azmin.
“Kami memeriksa semua kumpulan WhatsApp dan saluran komunikasi lain serta mengenal parti mereka yang berada dalam geng Azmin. Kami akan mengeluarkan mereka hari ini,” kata sumber yang enggan dinamakan.
Semalam, PKR memecat Azmin dan Naib Presiden, Zuraida Kamarudin. Ia disusuli 9 ahli Parlimen yang bersekutu dengan Azmin mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu.
Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal mengekalkan pendirian kerajaan negeri untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Ketua PKR Sabah, Christina Liew tidak mahu mengulas kemelut di Putrajaya dan hanya berkata: “Kita akan tunggu dan lihat.”
PKR Sabah mempunyai 3 ahli Parlimen, iaitu Liew (Tawau), Awang Hussaini Sahari (Putatan) dan Jonathan Yassin (Ranau).
Ahli Parlimen Ranau itu antara 9 wakil rakyat yang meninggalkan PKR semalam.
Individu lain yang dipercayai bersekutu dengan Azmin termasuk bekas Adun Inanam, Roland Chia, bekas ketua PKR Tawau, Kong Hon Ming dan Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid.
Rahimah ketika dihubungi mengesahkan operasi “pembersihan” sudah bermula dan beliau menunggu pengumuman pemecatannya.
Beliau mendakwa DAP dan Amanah “mengkhianati” PKR dengan menukar pendirian mereka terhadap Mahathir.
Sementara itu, DAP Sabah berkata, ahli Parlimennya akan menemui Agong untuk memaklumkan pendirian mereka.
Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata: “Tiada komen berhubung siapa yang saya akan sokong, tetapi saya akan menghadap Agong esok.”
Bekas sekutu PH, PPBM Sabah menggesa penyokongnya di negeri itu bertenang susulan peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi parti.
Timbalan Ketua PPBM Sabah, Masidi Manjun berkata: “Kami tiada rancangan berjumpa ketua menteri ketika ini kerana saya yakin Shafie tahu apa yang sedang berlaku.”