DALAM khutbah sempena Aidiladha, kelmarin Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al Sheikh telah memberikan peringatan kepada umat Islam supaya tidak diperalatkan sehingga menyebabkan rakyat dan pemimpin bertelagah.
Ia adalah satu peringatan yang tepat pada masanya ketika umat Islam di seluruh dunia sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara-negara Islam di Asia Barat yang satu demi satu terjerumus dalam lembah huru-hara akibat campur tangan pihak asing.
Atas nama demokrasi, hak asasi dan keadilan, pihak-pihak asing dengan mudah memberi bantuan ketenteraan kepada puak pemberontak yang menyokong agenda mereka untuk menjatuhkan pemimpin Islam yang mereka tidak sukai.
Bermula dengan Iraq pada tahun 2003, negara-negara Islam yang pemimpinnya dilihat tegas menentang ‘penjajahan baru’ yang cuba dilakukan oleh negara-negara barat terus menjadi sasaran untuk ditumbangkan.
Bersandarkan kepada slogan keramat, ‘Kuasa Rakyat’, satu demi satu negara Islam dilanda pergolakan politik dalaman yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak dalam huru-hara dan kacau bilau.
Agenda pihak asing untuk melemahkan pemimpin dan negara Islam menjadi begitu mudah apabila ada antara umat Islam sendiri bersedia menjadi ‘kuda tunggangan’ mereka kononnya atas nama memperjuangkan demokrasi dan menegakkan keadilan.
Tetapi persoalannya, apakah yang berlaku kepada negara Islam tersebut selepas agenda pihak asing untuk menyingkirkan pemimpin yang mereka tidak disukai sudah berjaya?
Jawapannya mudah, tiada apa-apa, sebaliknya sehingga ke hari ini kestabilan politik dan keamanan masih lagi menjadi sekadar mimpi sedangkan pihak-pihak asing yang terlibat sudah pun meninggalkan mereka.
Ini kerana pihak asing berkenaan bukannya jujur dan ikhlas untuk membela nasib umat Islam yang didakwa tertindas sebaliknya hanya mahu memastikan tidak ada mana-mana pemimpin atau negara Islam yang kuat.
Sebab itulah Sheikh Abdul Aziz dalam khutbahnya mengingatkan, ”Umat Islam perlu menyelesaikan masalah sesama mereka menerusi dialog, tanpa meminta campur tangan musuh dan berjaga-jagalah terhadap mereka yang mahu mencetuskan pertelagahan antara kamu.”
Sama ada hendak diakui atau tidak, masalah perpaduan di kalangan umat Islam turut berlaku di negara ini.
Perbezaan dan pegangan politik berlainan ideologi terus menjadi ‘tembok pemisah’ yang seolah-olah begitu sukar untuk dirobohkan selama-lama berpuluh-puluh tahun.
Ada sahaja hujah yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu apabila kita bercakap soal menyatukan ummah di negara ini. Pelbagai usaha yang dilakukan terus menemui jalan buntu kerana segala tindakan lebih berlandaskan kepada ‘nafsu politik’.
Keadaan itu telah memungkinkan umat Islam di negara ini dilihat bukan lagi kelompok yang perlu digeruni atau perlu diambil kira sebelum sesuatu tindakan dilakukan.
Ia kerana mereka memahami di dalam kelompok umat Islam itu sendiri berlaku pecah belah dan sukar untuk mencapai sepakat. Malah ia menjadi lebih buruk apabila ada kelompok orang Islam itu bersedia meletakkan perhitungan politik mengatasi segala-galanya.
Lanjutan itu, apa sahaja yang pendirian atau keputusan yang dibuat biar pun demi kepentingan umat Islam ia akan dilakukan dengan mengambil kira apa kata sekutu politik mereka.
Buktinya lihat sahaja apa yang berlaku kepada perhimpunan menentang murtad di Shah Alam dan bantahan ke atas anjuran program mempromosikan seks bebas, Seksualiti Merdeka.
Berapa kerat sangat umat Islam yang benar-benar bersedia untuk melakukan bantahan itu? Mungkin ada sesetengahnya mempunyai urusan tetapi bagaimana dengan penyokong parti-parti politik tertentu yang cukup terkenal dengan sikap mereka suka berhimpun?
Jika mereka boleh menghabiskan masa-masa berjam-jam mendengar ceramah politik yang sudah tentulah isi kandungannya mencerca sesama Islam, kenapakah apabila menyentuh soal berkaitan kepentingan Islam mereka tidak boleh hadir beramai-ramai?
Kenapakah terlalu susah untuk hadir ke acara mempertahankan kesucian Islam tetapi begitu mudah turun ke jalanan memperjuangkan hak demi mendapat kuasa duniawi?
Malahan perpaduan umat Islam juga dilihat semakin rapuh di negara ini apabila sesetengah kelompok yang menganggap diri mereka ulama atau disanjung oleh pengikut-pengikut mereka sebagai ‘tok guru’ tidak memainkan peranan sebenar-benarnya.
Masih ada yang masih dengan pemikiran jumud dan dikuasai politik sempit apabila menganggap mereka sahaja yang memperjuangkan Islam sebenar manakala puak yang tidak sehaluan dengan mereka dituduh menolak Islam.
Sebahagian ulama dan tok guru ini akan membuat pendirian atau memberi pandangan berlandaskan kepada kecenderungan politik, akibatnya umat Islam terus berpecah-belah.
Pada hari memperingati wukuf baru-baru ini, ada antara mereka ini sanggup mencerca sesama Islam biar pun hakikatnya ia adalah saat terbaik untuk kita mengeratkan silaturahim.
Semua ini hakikatnya boleh dianggap satu tindakan yang akan merapuhkan lagi perpaduan antara umat Islam. Berpolitik biarlah ada batasnya dan jangan kerana nafsu politik dan ‘gilakan kuasa’ maka perpaduan Islam pun dipertaruhkan.
Ingatlah Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayah 86 yang bermaksud;
”Mereka itulah orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat.
”Justeru itu, mereka tidak akan diringankan azab (pada hari Kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghindari azab itu).”
Justeru sempena Aidiladhah yang mulia ini, umat Islam perlu menghayati erti pengorbanan sebenar-benarnya. Janganlah kita hanya menghadiri majlis-majlis korban tanpa mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sebalik ibadah tersebut.
Peringatan Sheikh Abdul Aziz Al Sheikh itu pula perlu dijadikan panduan kerana beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik sebaliknya atas tanggungjawab sebagai Mufti Arab Saudi yang melihat kedudukan umat Islam kini yang semakin lemah.
Sesungguhnya Islam itu agama yang lengkap dan telah berjaya menyatukan umatnya daripada kalangan semua bangsa, setelah cahaya petunjuk sampai ke mereka.
Oleh itu jika kita semua benar-benar patuh kepada ajaran Islam dengan berlandaskan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis maka sudah pasti umat Islam akan menjadi kelompok yang terkuat dan digeruni di mana sahaja termasuk di Malaysia.
Namun pada masa ini, akui sahaja umat Islam semakin lemah kerana mudah diperalatkan atas nama menegakkan demokrasi, berpecah-belah kerana berbeza mazhab dan dilaga-lagakan demi kepentingan politik merebut kekuasaan, kesudahannya, kita bagaikan buih-buih di pantai, banyak namun tidak memiliki apa-apa kekuatan.