Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Parti Amanah Negara (PAN) terbentuk hasil dari lompat parti dan melanggar baiah (perjanjian).
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dilontarkan oleh salah seorang penyokong parti itu kerana tidak berpuas hati dengan sokongan terbuka Mohd Asri terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Adapun sudut ketelusan parti saudara yang tidak akan mengiktiraf lompat parti, mungkin saudara terlupa sejarah parti saudara. Parti saudara muncul hasil dari lompat parti. Bukan sahaja lompat parti, bahkan melanggari baiah dengan parti asal mereka.
“Bukan baiah biasa, tetapi baiah atas nama Allah dan RasulNYA bahawa isteri tertalak jika mereka lompa,” jelasnya.
Mohd Asri turut menjelaskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sah dari segi perlembagaan dan juga syarak.
“Perdana Menteri yang ada sekarang dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu kuasa tertinggi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Negara. Di sisi Perlembagaan, dia merupakan Perdana Menteri yang sah.
“Apabila ia sah, di sisi syarak ia wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh kepada dosa dan maksiat,” jelasnya lagi.
Berikut adalah kenyataan penuh yang dipetik dari laman Facebook beliau:
?
Soalan:
Salam SS Dr MAZA, saya terlebih dahulu nak minta maaf apa yang saya nak tanya ni. Saya terus terang cakap saya kecewa dengan Dr MAZA. Saya follow Dr MAZA banyak sebelum ni. Saya rujuk pendapat Dr MAZA kalau ada apa-apa. Tapi sekarang, saya kecewa Dr mengiktiraf golongan pengkhianat yang bentuk kerajaan. Dr sanggup terima kerajaan macam tu yang mungkir pada ikrar dan janji. Janji yang dibuat bukan Muhyiddin jadi PM, tapi DSAI. Di mana prinsip Dr selama ini yang saya hormat? Tidakkah itu bercanggah dengan ajaran Islam? Saya terus terang bagitahu memang saya sokong Parti AMANAH. Dalam parti ni kami diajar akan berpegang pada janji. Itu sifat orang Islam. Lompat parti itu satu pengkhianat. Dulu Dr juga kata tidak boleh lompat parti. Zahirnya mereka memang tak lompat parti, tapi tukar geng dari PH ke PN. Tidakkah itu khianat? Bukankah Islam larang khianat? Saya tak akan bersama dengan orang yang khianat!!!!!! Mahyuddin is not my PM. Sorry!!
****
Anak Muda Kecewa
Saudara yang bertanya, terima kasih atas soalan. Asalnya, saya malas hendak menjawab soalan sebegini. Memandang saudara dan beberapa orang lagi, bertanya hal yang sama, maka saya siarkan jawapan ini secara terbuka supaya saudara dan orang seperti saudara dapat membacanya. Saya sembunyikan nama saudara. Sebenarnya, soalan saudara terkandung banyak isu. Saya harap saya dapat meneliti dengan baik perkara-perkara yang saya sebutkan nanti.
1. Saya bersetuju bahawa manusia berpegang kepada ikrar dan janji. Itu pun hendaklah dilihat, sejauh mana ikrar dan janji bercanggah atau tidak dengan syarak. Adapun saya dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian atau ikrar antara orang-orang politik tersebut. Itu urusan mereka. Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan.
2. Perdana Menteri yang ada sekarang dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu kuasa tertinggi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Negara. Di sisi Perlembagaan, dia merupakan Perdana Menteri yang sah. Apabila ia sah, di sisi syarak ia wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh kepada dosa dan maksiat.
3. Bercakap tentang ikrar dan janji, adapun saya, bahkan semua rakyat yang sebenar, telah berikrar RUKUN NEGARA yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Saya percaya saudara pun pernah berikrar. Dengan saudara tidak mengiktiraf perlantikan yang dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bererti saudara telah melanggar ikrar dan janji yang saudara telah buat sejak dahulu. Justeru, saya mengiktiraf kerana saya menunaikan janji dan ikrar.
4. Untuk pengetahuan saudara, pada 8 Oktober 2019, Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamed telah menulis sepucuk surat peribadi kepada saya. Antara isi kandungan surat tersebut, beliau menyatakan: “ . . -. . , ”.
5. Dari surat Tun Mahathir itu, ternyata orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja. Sudah pasti DYMM YDPA tidak terikat dengan janji tersebut. Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada.
6. Kita semua tahu, apa yang berlaku Perdana Menteri ke-7 yang meletakkan jawatan. Maka negara tiada Perdana Menteri. Seorang Perdana perlu dilantik. Apakah cara? DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil langkah yang wajar dan dipertujui oleh Majlis Raja-Raja. Satu cara pemilihan telah dibuat di Istana Negara. Parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertai pemilihan tersebut dengan hadir ke Istana Negara dan memaklumkan calon pilihan mereka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Jika pemilihan itu satu pengkhianatan dan tidak sah, mengapa parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertainya? Tidakkah pemilihan Perdana Menteri sekarang ini hasil dari proses tersebut? Jika diandaikan calon parti saudara menang, adakah sah? Jika calon saudara tidak menang, maka tidak sah?!!! Lojik apakah ini?!
7. Adapun sudut ketelusan parti saudara yang tidak akan mengiktiraf lompat parti, mungkin saudara terlupa sejarah parti saudara. Parti saudara muncul hasil dari lompat parti. Bukan sahaja lompat parti, bahkan melanggari baiah dengan parti asal mereka. Bukan baiah biasa, tetapi baiah atas nama Allah dan RasulNYA bahawa isteri tertalak jika mereka lompat. Pun begitu mereka telah melompat. Pemimpin saudara pernah menghantar surat kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Perlis untuk memutuskan apakah isteri mereka tertalak. Jawapan yang kita berikan ialah sama ada jatuh atau tidak talak itu berdasarkan niat semasa sumpah talak tersebut dibuat. Saudara boleh rujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri perlis kali ke-24 & 25/2016 pada20-21 disember 2016. Namun, perbuatan menggunakan nama Allah, RasulNYA serta talak isteri untuk berpolitik adalah perbuatan yang keji. Hal itu pernah dilakukan oleh parti saudara.
8. Jika saudara masih ingat atau membaca, ada percubaan menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008, yang cuba membentuk kerajaan melalui lompat parti. Pemimpin-pemimpin parti saudara juga bersama dengan pemimpin berkenaan. Pemimpin tersebut juga calon PM yang saudara sebut. Saya bukan mahu memburukkan beliau, tetapi jika saudara bercakap soal prinsip yang parti saudara pegang, mungkin saudara boleh menilainya.
9. Pengiktirafan saya tiada kaitan dengan perjanjian antara orang-orang politik. Saya mengiktiraf apabila seseorang telah sah sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan di sisi Perlembagaan. Jika satu hari kumpulan saudara menjadi kerajaan yang sah, saya iktiraf. Soalan mengkritik, itu perkara kedua. Berbeza antara kritik dan iktiraf. Mengapa saya iktiraf dan taat selagi tidak mungkar? Jawapannya kerana saya bukan orang partis eperti saudara. Saya musim yang berpegang kepada arahan Nabi s.a.w:
إِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَاسْمَعُوا لَهُ وَأَطِيعُوا مَا قَادَكُمْ بِكِتَابِ اللهِ تَعَالَى
“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, dengar dan taatlah jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll, sahih atas syarat al-Imam Muslim).
Juga sabda Nabi s.a.w:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
10. Prinsip rakyat dalam urusan pemerintahan ialah kita menyokong yang baik dan ijtihad yang tidak berdosa dalam pentadbiran. Kita memberikan pandangan balas dan kritikan jika perlu. Kita membantah dan tidak menyokong hal-hal yang mungkar. Apa yang penting, negara mesti stabil dan memelihara kepentingan rakyat dan agama.
11. Telah berlaku pertukaran kerajaan dalam sepanjang sejarah manusia melalui pelbagai cara. Ada yang melalui cara terpuji dan ada yang melalui cara yang keji. Kerajaan ‘Abbasiyyah ditegakkan hasil rampasan kuasa dari Kerajaan Umawiyyah. Pun begitu, rakyat terus hidup. Berkurun-kurun kerajaan itu berlangsung. Para ulama yang fakih terus dengan sikap jujur mereka. Mereka mentaati hal yang patut ditaati dan membangkang hal yang patut dibangkang. Para imam yang empat, hidup di bawah Kerajaan Abbasiyyah. Demikianlah kebanyakan ulama dan sarjana pelbagai bidang. Mereka khidmat dalam hal yang perlu dan membantah perkara yang perlu. Sebahagian buku yang parti saudara baca juga dari ulama-ulama kerajaan Abbasiyyah.
12. Jika saudara menyatakan parti saudara hidup atas prinsip Islam berpegang pada janji, mungkin saudara boleh semak semula. Selain dari apa yang saya sebutkan di atas, tidakkah pemimpin parti saudara juga yang pernah cuba menjustifikasikan perlanggaran janji politik dengan membuat satu kenyataan yang menghina Nabi s.a.w bahawa ‘Nabi s.a.w pun pernah tak tunai janji’. Mungkin kemudian dia bertaubat, saya harap begitu.
12 Saudara, semoga Allah membimbing kita semua. Berdoalah agar kita dipimpin oleh ilmu dan bukan emosi yang tidak stabil. Fahami sesuatu dari kerangka yang luas dan ilmiah sebelum saudara membuat kesimpulan. Saya doakan saya menjadi anak muda yang baik dan bermanfaat untuk negara.
Sumber: Facebook Dr MAZA