Belum pun agihan Program Bantuan RM500 dilakukan, sudah ada sindiket ligat cuba perdaya orang ramai.
Borang permohonan bantuan palsu dikesan sudah mula dijual kepada orang ramai.
Pegawai Perhubungan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Masrun Maslim dalam satu kenyataan memaklumkan pihak yang tidak bertanggungjawab telah mula mengedarkan borang palsu itu sedangkan borang permohonan sebenar masih belum dikeluarkan.
Malah pendaftaran kelak adalah percuma.
Jelas beliau, borang permohonan bantuan 500 ringgit itu sedang dalam proses akhir penyediaan dan akan diedarkan ke setiap pejabat LHDN sebaik siap.
Mekanisme pengagihan bantuan dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan dan setakat ini pihaknya belum melantik mana-mana pihak untuk urusan pendaftaran permohonan bantuan itu.
Penjelasan ini diharap dapat mengelak orang ramai daripada terpedaya dan LHDN katanya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang penipuan yang ditanggung mangsa.
Bajet 2012 yang dibentang Oktober lalu memperuntukkan 500 ringgit bagi setiap isirumah yang pendapatan kurang daripada 3 ribu ringgit sebulan.