ROM – Bintang Juventus Cristiano Ronaldo bersedia untuk kuarantin diri untuk tempoh dua minggu lagi selepas pulang ke Itali.
Laporan mendakwa Ronaldo telah balik ke kampung halaman di Portugal tetapi akan diminta mengkuarantinkan diri untuk 14 hari lagi sejurus balik ke Itali.
Juventus telah memanggil semula kesemua pemain luar negaranya yang meninggalkan Itali semenjak perintah berkurung dilaksanakan.
Manakala dua rakan sepasukannya Douglas Costa dan Alex Sandro juga yang telah pulang ke Brazil dijangka kembali ke Turin dalam masa terdekat.
Itali menjalani perintah berkurung sepenuhnya sejak 10 Mac dan setakat ini belum ditetapkan tarikh muktamad saingan Serie A akan disambung semula.
Ada juga cadangan bahawa kelab-kelab saingan Serie A akan kembali ke latihan 4 Mei ini tetapi tidak akan melibatkan pemain yang baru balik dari luar negara.
Sementara Gonzalo Higuain yang pulang ke Argentina juga gagal dihubungi Juventus setakat ini.-MalaysiaGazette