LELAKI ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung dengan tali di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Seri Manjung, Manjung, hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa berusia 56 tahun ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis pada 1.15 tengah hari.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa didapati memandu kenderaan berseorangan memasuki kawasan tempat letak kenderaan pada 12. 25 tengah hari.
“Pemeriksaan dalam kenderaan mangsa menemui sebuah beg dan nota dalam bahasa Mandarin yang meminta keluarga menguruskan dirinya mengikut acara keagamaan,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.