Tindakan anggota polis menegur orang awam tidak mematuhi penjarakan sosial ketika membeli belah juadah berbuka puasa menarik perhatian pendakwah bebas, Ustaz Abdullah Khairi (UAK).
Menerusi video dikongsi UAK di media sosial, anggota terbabit turut dilihat menegur pemandu yang meletak kenderaan di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Turunkan satu orang dan yang lain tu bawa kenderaan pergi cari tempat parkir. Fikir masalah orang lain sama. Jangan fikir untuk kesenangan diri sahaja.
“Jaga jarak, jangan seronok sangat sebab kita tak nampak virus. Kalau kita nampak, tuan-tuan dan juga puan-puan pun tak mai (datang) beli kuih.
“Jagalah jarak, orang dah bagi bersyarat tu jaga elok-elok. Kuih tu banyak, pakat-pakat nak beli bukan nak berebut,” katanya dalam video tersebut.
Setakat ini, lokasi dan tarikh video tersebut dirakam belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, teguran anggota polis terbabit berjaya menimbulkan rasa ‘seram’ kepada UAK yang menganggapnya sebagai garang.
“Oooooi tak dengar kah! Cengey (garang) polis ni!” memetik kapsyen UAK.
Setakat ini, hantaran UAK mendapat 49,225 tanda ‘suka.’