Kemungkinan vaksin koronavirus siap 100 peratus pada tahun depan adalah tipis, kata pakar Perancis, memberi amaran tentang mengambil langkah penjarakan sosial secara serius.
“Menghasilkan vaksin mengambil masa beberapa tahun,” kata ahli epidemiologi Arnaud Fontanet, salah seorang saintis yang menjadi penasihat kerajaan mengenai krisis pandemik Covid-19, lapor AFP.
“Sudah tentu usaha untuk menghasilkan vaksin adalah berterusan tetapi saya amat terkejut jika ia berkesan pada 2021,” tambahnya.
Katanya penduduk dunia tiada pilihan melainkan terpaksa “hidup dengan virus” dan kembali kepada “tabiat yang lebih serius”.
“Kali ini sekurang-kurangnya kita perlu amalkan penjarakan fizikal,” katanya yang menekankan berkumpul secara beramai-ramai adalah ancaman terbesar.
Sabtu lalu pemain DJ memainkan muzik di sebuah pusat peranginan di pantai Nice dan menarik perhatian ribuan ramai untuk berkumpul, lalu mencetuskan kecaman di media sosial.
Manakala sekumpulan doktor menyeru kerajaan menetapkan peraturan wajib memakai pelitup muka masuk ke bangunan awam bagi membendung gelombang kedua penularan wabak Covid-19.
Fontanet berkata risiko utama yang boleh mencetuskan kluster baru adalah dalam kawasan yang terkurung seperti dewan sukan, disko, pusat penyembelihan, kapal perang, rumah pekerja warga asing dan pusat ibadat.
Rabu minggu lalu kerajaan Perancis mengumumkan bersedia dengan kemungkinan gelombang kedua, namun daripada mengenakan perintah berkurung seluruh negara, kali ini mereka memilih langkah “sasaran” seperti duduk di rumah dan menutup perniagaan.
BACA JUGA: