Negara-negara Islam perlu menyediakan amalan tadbir urus yang baik bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan negara membangun yang lain serta memberi gambaran baik mengenai Islam.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tadbir urus adalah melakukan perkara yang betul, mengelak salah laku serta melakukan apa juga yang menghalang atau merosakkan kemajuan rakyat dalam negara.
“Sebuah kerajaan yang baik sentiasa mengambil berat tentang rakyat. Pemimpinnya tidak dilantik, dipilih atau mewarisi kepimpinan agar mereka boleh menikmati kehidupan dengan banyak keistimewaan.
“Seorang pemimpin dijangka memimpin rakyatnya dan menyediakan taraf kehidupan yang baik kepada mereka. Seorang pemimpin juga mesti sentiasa perihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk “Urus Tadbir Yang Baik, Iklim Pelaburan Berdaya Maju, Falsafah Yang Mantap” pada perasmian Multaqa Kesembilan Al-Muntada Al-Islami 2012 di sini, Isnin.
Persidangan tiga hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan oleh Al-Muntada dengan kerjasama Kumpulan Penasihat IFP Malaysia.
Badan Amanah Al-Muntada Al-Islami, sebuah pertubuhan bebas ditubuhkan di United Kingdom pada asalnya bertujuan memenuhi keperluan komuniti tempatan dan kini mempunyai beberapa pusat kegiatan di seluruh dunia.
Memetik Malaysia sebagai contoh, Dr Mahathir berkata ketika waktu kemerdekaan, 70 peratus tenaga kerja menganggur dan oleh itu kerajaan memutuskan untuk menyediakan peluang pekerjaan dengan beralih dari bidang pertanian kepada perindustrian.
“Strategi itu amat berjaya dalam menjana pekerjaan, lebih-lebih lagi akhirnya Malaysia terpaksa membawa masuk pekerja asing kerana banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi pelaburan asing dalam negara,” katanya.
Katanya dasar kerajaan itu mengakibatkan kehidupan rakyat bertambah makmur dan pertumbuhan negara meningkat kerana pelaburan asing dan domestik.
“Ini semua kerana persekitaran yang diwujudkan,” jelasnya.
“Saya harap negara-negara Islam akan mengingati peranan tadbir urus yang baik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh turut membantu dengan menyediakan pendidikan dan latihan manakala kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan menerusi tarikan pelaburan,” katanya.